Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Sepanjang saya tinggal di sini, dua kali banjir besar, tetapi kali ini lebih besar," kata seorang warga emas ketika ditanya pengalamannya berhadapan banjir kali ini.

Mohamad Salleh, 80, ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya di Kampung Kota, Pasir Mas berkata, kali pertama rumahnya dinaiki air ketika banjir besar pada tahun 1967.

Bagaimanapun kata Mohamad, paras air yang sampai di kawasan rumahnya ketika itu hanya setinggi kira-kira dua kaki sahaja.

"Banjir (besar) sebelum ini (1967), tenggelam (setakat) tiga anak tangga sahaja, tapi banjir kali ini paras pinggang.

"Banjir dulu air setakat hampir lintas jalan. Itu waktu jalan depan ni rendah. Sekarang jalan sudah tinggi, tapi air paras betis. Ini banjir besar," katanya.

Mohamad, lebih dikenali dengan nama jolokan Pak Mat Dobi di kalangan penduduk setempat kerana pernah mengusahakan perniagaan dobi di Wakaf Che Yeh di zaman mudanya.

Beliau kini tinggal sendirian di rumah tersebut selepas isterinya meninggal dunia.

Rumah anak-anaknya bagaimanapun terletak tidak jauh dari situ.

Mengulas lanjut, Pak Mat Dobi berkata, beliau juga terkejut kerana paras air meningkat  begitu cepat.

"Memang cepat kali ini air naik. Kita pun tak jangka," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak berpindah kerana reka bentuk rumahnya agak tinggi dan air tidak mencecah lantai.

Banjir 1967 dikatakan banjir kedua terbesar pernah melanda negeri Kelantan.

Paling besar adalah banjir yang berlaku pada tahun 1926 yang dikenali sebagai “bah merah”.

Nama bah merah diambil sempena warna air banjir ketika itu yang bertukar seakan merah ekoran lumpur yang dibawa bersamanya.

Lihat Komen
ADS