Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Azmin Ali menjelaskan bahawa kerajaan Perak telahpun menerima sumbangan RM100,000 untuk bantuan bagi mangsa banjir.

Beliau mengulas dakwaan yang dibangkitkan oleh seorang anggota exconya, Daroyah Alwi, yang menyifatkan kerajaan Perak mengamalkan "fikiran politik sempit" kerana enggan terima bantuan tersebut.

Azmin berkata, beliau tidak tahu mengenai laporan oleh media rasmi kerajaan negeri, bahawa kerajaan negeri Perak menolak wang sumbangan tersebut.

"Saya tidak tahu menahu. Cek untuk kerajaan negeri Perak telah pun diserahkan dengan tangan kepada Pejabat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry.

"Dan pejabat menteri besar telah pun mengesahkan penerimaan cek. Itu sahajalah.

"Saya tidak ada maklumat itu (cek ditolak) kerana faktanya ialah cek sudah pun diserahkan kepada pejabat menteri besar. Ada cop pengesahan penerimaan dan saya percaya bantuan ini akan dimanfaatkan untuk mangsa banjir di Perak," katanya.

Ketika ditanya, Azmin berkata cek tersebut diserahkan kepada kerajaan negeri “dalam awal minggu ini”.

Beliau mengulas dakwaan yang dibangkitkan exco hal kebajikan Selangor Dr Daroyah Alwi bahawa kerajaan Perak enggan menerima sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir.

Laporan media rasmi kerajaan negeri semalam menyebut, Daroyah berkata, perkara itu menyebabkan peruntukan tidak dapat disalurkan secara terus kepada mangsa banjir di Perak.

Azmin ditemui pemberita dalam majlis penyerahan sumbangan untuk mengsa banjir di bangunan Setiausaha Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam.

Sementara itu, Daroyah yang ditemui pemberita dalam majlis sama hari ini kelihatan "terkejut" apabila ditanya lanjut mengenai kenyataan Azmin bahawa kerajaan Perak menerima sumbangan tersebut.

Beliau berkata ia mungkin perkembangan terbaru dan meminta wartawan merujuk fakta yang disebut menteri besar.

Daroyah berkata, sehingga hari ini beliau tidak dimaklumkan sebarang perkembangan terbaru berkaitan sumbangan kepada negeri Perak itu.

"Kalau menteri besar pun dah sebut (begitu), ambil menteri besar punya kenyataanlah. Itu lebih baik.

"Mungkin itu (perkembangan) yang terkini. Mungkin hari ini pejabat menteri besar (Selangor) dah berkomunikasi dengan pejabat menteri besar Perak.  Jadi dapatkan (kenyataan) daripada pejabat menteri besar.

"Sehingga hari ini, saya tak dapat lagi maklumat tersebut," kata Daroyah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS