Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Tak usah bincang soal k'jaan campuran
Diterbitkan:  Jan 2, 2015 1:17 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menepis cadangan oleh seorang usahawan media Kelantan untuk mewujudkan kerajaan campuran Umno-PAS untuk memulihkan negeri itu selepas banjir.

Menurut Ahmad, perkara itu tidak dibincangkan kerana ia hanya akan mewujudkan "polemik baru" sedangkan tumpuan ini harus diberikan kepada usaha menyelamatkan mangsa banjir.

"Kita sedar bahawa rakyat kita perlu dibantu. Polemik parti kita letak tepi dulu," katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Ahmad mengulas saranan oleh penerbit akhbar tersebut, Datuk Hussamuddin Yaacob agar PAS dan Umno bersatu dalam menangani isu banjir di Kelantan.

Katanya, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri untuk membantu rakyat sudahpun bermula walau tidak melalui kerjasana kerajaan campuran.

Akhbar tersebut turut mengutip kenyataan pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkata, kerjasama “kerajaan campuran” di antara BN dan PAS itu telah dilaksanakan.

Katanya ia boleh dilihat dalam beberapa urusan terutama dalam menangani bencana banjir ketika ini.

"Untuk banjir kita sudah memulakan kerajaan campuran kerana dalam jawatankuasa (banjir) ini, saya pengerusi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat sebagai timbalan," lapor akhbar bahasa Melayu itu lagi.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali  berkata beliau sedia untuk menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan BN demi kepentingan rakyat Selangor.

"Di peringkat Selangor sendiri, kita sudah pun mengamalkan pendekatan temu tembung dengan kerajaan BN dari peringkat kerajaan Persekutuan.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri adakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, langkah yang boleh diambil untuk pembangunan negeri Selangor," katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS