Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekalan elektrik ke K'tan beransur pulih
Diterbitkan:  Jan 3, 2015 9:38 AM
Dikemaskini: 1:43 AM

Lebih 80 peratus pengguna elektrik di negeri Kelantan telah menerima bekalan elektrik setakat petang semalam, kata

Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB, Abdul Aziz Abdul Majid berkata 506 lagi pencawang elektrik belum dipulihkan setakat ini berbanding 1,017 pada hari Khamis.

"Setakat 4 petang ini, 46 janakuasa bergerak dengan kapasiti sehingga 1,000 kVA (kilo Volt Ampere) juga sedang dioperasikan di Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

TNB juga, katanya, sedang berusaha untuk memasang beberapa lagi set janakuasa di lokasi-lokasi yang memerlukannya.

Syarikat pembekal tenaga itu berkata di Pahang, jumlah pencawang yang belum dipulihkan menurun kepada 239 setakat ini berbanding 301 semalam manakala 58 pencawang di Perak masih dihentikan operasi.

TNB mengingatkan mangsa banjir yang kembali ke premis masing-masing supaya menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memeriksa terlebih dulu pendawaian dan peralatan elektrik sebelum digunakan.

Pengguna di Kelantan dan Terengganu boleh menghubungi pejabat ST di talian 09-7487390, Pahang 09-5142803 dan Perak 05-2535413.

- Bernama

Lihat Komen
ADS