Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pegawai perubatan yang menyertai misi kemanusiaan ke Kuala Krai dan Manik Urai, Kelantan kecewa kerana terdapat parti politik yang diperhatikannya menggunakan bantuan orang ramai untuk tujuan kepartian.

Dr Afiq Rahim yang menyertai misi kemanusian oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) itu ada bantuan yang disalurkan secara eksklusif kepada penyokong parti masing-masing.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Afiq dalam tulisan di Facebook menyebut, terdapat parti politik yang mengambil kesempatan di atas musibah tersebut bagi meraih sokongan parti.

Katanya lagi, walaupun terdapat pelbagai bantuan yang diberikan, namun antara masalah utama yang berlaku di negeri itu ialah masalah koordinasi pengagihan bantuan kemanusiaan.

"Lebih malang, saya sangat terkilan apabila segelintir ahli parti hijau,biru dan merah telah mempergunakan bantuan ikhlas rakyat Malaysia untuk memenuhkan tembolok kepartian masing-masing.

"Terdapat pengagihan diberikan ekslusif hanya kepada penyokong parti masing-masing menggunakan sumbangan orang awam.

"Di saat mangsa banjir sangat terdesak untuk kelangsungan hidup, parti politik mengambil kesempatan untuk meraih sokongan parti," tulis Afiq.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini melalui laman Facebook, Afiq yang bertugas di klinik Kota Bharu itu berkata "bantuan pilih kasih" itu berlaku di depan matanya sendiri.

Beliau berkata, kemungkinan perkara seperti itu berlaku di semua tempat yang dilanda banjir di Kelantan.

Malah, Afiq juga berpendapat sifat fanatik kepartian masih lagi menebal di kalangan segelintir masyarakat walaupun ketika musibah banjir.

"Sumbangan hanya untuk penyokong parti atau individu tertentu sahaja. Contohnya, (terdapat) mangsa berkumpul di satu tempat, tetapi bantuan diberikan hanya (kepada) segelintir individu. Bukan semua mangsa.

"Saya tahu (perkara ini berlaku) sebab memang ia berlaku depan mata saya. Mangsa ada yang berkata 'oh bantuan ini pilih kasih ke?'. Namun saya perasan, mangsa-mangsa lain seperti memahami situasi tersebut.

"Saya boleh menyimpulkan kemungkinan (perkara) itu juga berlaku hampir di semua tempat banjir di Kelantan. Masalah fanatik kepartian masih menebal di kalangan segelintir masyarakat," katanya lagi.

[Baca catatan penuh Afiq di Facebook]

Lihat Komen
ADS