Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Artikel kami “Sudahkah Sasaran 30 Peratus Pemilikan Ekuiti Bumiputera Tercapai”  dan “Kecacatan dalam Metodologi Kiraan Ekuiti Bumiputera” yang disiarkan tempoh hari bertujuan untuk menegakkan kebenaran mengenai pemilikan ekuiti supaya rasa tidak puas hati yang boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia dihapuskan agar perpaduan rakyat dicapai.

Ia juga bagi membetulkan salah faham mengenai sasaran ekuiti Bumiputra 30 peratus masih belum dicapai agar program-program kerajaan yang menyebabkan kronisme tidak diteruskan lagi.         

Kami mendedahkan kaedah penghitungan pemilikan ekuiti yang dipakai oleh kerajaan mempunyai dua kecacatan serius:  “Nilai par” digunakan untuk menilaikan modal saham; dan saham yang dipegang kerajaan tidak diambil kira dalam penghitungan.

Kami membuat huraian terperinci berlandaskan data-data yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri. Kami membuktikan bahawa sasaran pemilikan ekuiti 30 peratus bagi bumiputera sudah tercapai.

Penemuan dan kesimpulan kami langsung tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun kerana bukti-buktinya begitu kukuh dan logik.

Dalam hubungan ini, Unit Perancang Ekonomi, agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan Rancangan Malaysia, dalam suratnya kepada Malaysiakini bertarikh 31 Dis 2014 tidak menafikan huraian dan kesimpulan kami.

Jawapan pada maklumbalas negatif

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang memberi ulasan positif terhadap artikel kami. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pengkritik yang mengemukakan hujah yang mengelirukan seperti berikut:

(1) Dalam tahun 2014, hanya terdapat seorang bumiputera (Syeikh Mokhtar Albukhary) di antara 10 orang terkaya di Malaysia. Ini menunjukkan sasaran pemilikan ekuiti 30 perarus bumiputera belum tercapai.  

(2) Penguasaan premis perniagaan di pusat beli belah ternama atau rantaian bekalan (supply chain) setiap bidang perniagaan seperti komputer dan handphone mencerminkan peratusan yang kecil penguasaan bumiputera.

Hujah-hujah tersebut seringkali diutarakan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan juga oleh mereka yang fikiran telah diracuni. Tujuan mereka ialah untuk memutarbelitkan isu yang sebenar.

Taktik mereka ialah “apabila pembohongan dan penipuan diulangi banyak kali, pembohongan dan penipuan boleh jadi kebenaran”.   

Rahsia dan taktik ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab itu mesti dibongkar. Walaupun hujah-hujah mereka lemah dan silap, jika tidak disangkal dan ditolak, pendapat sedemikian akan terus meracuni fikiran rakyat. Oleh yang demikian, kami ingin mengambil kesempatan di sini untuk membalas dua ulasan negatif itu secara sungguh-sungguh.

Maklumat mengenai 10 orang Malaysia terkaya dalam tahun 2014 adalah diterbitkan oleh Forbes. Berdasarkan punca tersebut, jumlah kekayaan 10 orang terkaya itu dianggarkan sebanyak RM 180.9 bilion.

Kekayaan Syer Mokhtar Alburkhary dianggarkan sebanyak RM 10.2 bilion atau 5.6 peratus daripada RM 180.9 bilion itu.  

Akan tetapi, harus diambil perhatian bahawa bukan kesemua RM 180.9 bilion itu merupakan kekayaan yang terdapat di Malaysia. Sebahagian daripada RM 180.9 bilion itu terdiri daripada harta dan saham luar negeri yang dimiliki oleh 10 orang terkaya itu.   

Permodalan pasaran (market capitalization) Bursa Malaysia dalam bulan Oktober 2014 ialah sebanyak RM1,770 bilion. Apabila modal saham syarikat sendirian berhad yang tidak tersenarai di Bursa juga diambil kira, jumlah modal saham bagi semua syarikat berhad di Malaysia tentulah melebihi RM 1,770 bilion.

Oleh yang demikian, adalah dianggarkan jumlah kekayaan 10 orang terkaya itu tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah kekayaan negara.

Sebagai rujukan, RM 180.9 bilion / RM 1,770 bilion x 100 peratus = 10.2 peratus. Sekiranya andaikan harta dan saham luar negeri yang dimiliki oleh 10 orang terkaya = RM 10 bilion dan modal saham syarikat sendirian berhad yang tidak tersenarai di Bursa = RM 200 bilion, maka (RM 180.9 bilion – RM 10 bilion) / (RM 1,770 bilion + RM 200 bilion) x 100 peratus = 8.7 peratus.   

Amatlah logik bahawa daripada 90 peratus kekayaan negara yang dimiliki oleh rakyat Malaysia selain daripada 10 orang terkaya itu, bumiputera pasti berpeluang untuk memiliki 30 peratus. Jelaslah pengkritik yang mengutarakan ulasan negatif itu tidak bertanggungjawab.   

Kekayaan 10 orang Malaysia terkaya dan pemilikan ekuiti 30 peratus bumiputera merupakan dua perkara yang tidak boleh dipersamakan begitu sahaja. Ekuiti 30 perarus bumiputera boleh dicapai walaupun hanya terdapat seorang bumiputera berada dalam golongan 10 orang terkaya.   

Ulasan negatif kedua ialah memandangkan usahawan bumiputera hanya menguasai peratusan yang kecil premis perniagaan di pusat-pusat beli belah dan rantai bekalan bagi komputer, handphone dan sebagainya, maka pemilikan ekuiti bumiputera tidak mungkin mencapai tahap 30 peratus.

Komen ini agak kebudak-budakan. Hanya pengkritik yang tidak berpengetahuan tentang ekonomi Malaysia akan mengatakan kegiatan-kegiatan perniagaan di pusat-pusat beli belah dan supply chain bagi komputer dan handphone mempunyai pengaruh besar terhadap pencapaian pemilikan ekuiti 30 perarus bumiputera.

Dalam ekonomi Malaysia, secara keseluruhannya, kegiatan perniagaan di pusat-pusat beli belah dan supply chain bagi komputer, handphone dan sebagainya hanya merupakan satu peratusan yang amat kecil.

Kegiatan ekonomi utama ialah terdiri daripada perbankan dan kewangan, pelancongan dan perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, infrastruktur, teknologi, pengeluaran minyak dan gas, perladangan dan sebagainya. Secara kolektif, sumbangan sektor-sektor utama ini kepada perkembangan ekonomi Malaysia melebihi 95 peratus.

Penglibatan bumiputera dalam sektor-sektor utama tersebut telah mencapai tahap tinggi dan semakin meningkat. Penglibatan bumiputera adalah dalam bentuk individu, melalui institusi bumiputera atau melalui syarikat-syarikat berkaitan (GLC).

Contohnya, dalam sektor perbankan, Malayan Banking dan Kumpulan CIMB, dua kumpulan perbankan terbesar di Malaysia telah dikuasai oleh GLC.  Begitu juga dengan banyak bank tempatan dan institusi kewangan yang lain.

Dalam tahun 2013, jumlah permodalan pasaran Malayan Banking dan Kumpulan CIMB di Bursa Malaysia ialah kira-kira RM124 bilion. Adakah jumlah permodalan pasaran kegiatan perniagaan di pusat beli belah dan supply chain bagi komputer, handphone dan sebagainya lebih besar daripada sektor perbankan? Lebih besar daripada semua sektor utama yang lain?

Budak-budak yang bijaksana pun tahu jawapan yang sebenarnya! Perbahasan yang membina dan sihat hanya boleh berlangsung sekiranya kedua-dua pihak masing-masing mengemukakan data dan fakta yang konkrit. Komen yang bukan-bukan atau tuduhan yang tidak berasas hanya mencerminkan mutu fikiran yang rendah.

Lihat Komen
ADS