Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini melancarkan 'Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan' dan 'KL Car Free Morning 2015'.

Menurut Tengku Adnan, kempen Kibar Bendera Wilayah Pesekutuan selama sebulan itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2015 pada 1 Feb ini dan bertujuan menyemarakkan semangat cintakan wilayah tersebut.

"Bagaimanapun sambutan Hari Wilayah Pesekutuan kali ini tidak diadakan secara berlebihan dan pembaziran kerana kita sedar negara sedang hadapi kesusahan khususnya di kawasan yang dilanda banjir," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Program 'KL Car Free Morning' yang masuk tahun kedua pelaksanaannya akan diadakan dua kali sebulan iaitu pada Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan mulai tahun ini berbanding hanya pada Ahad minggu pertama pada tahun lepas.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dalam usaha untuk membina laluan basikal tambahan di bandar raya ini.

"Kita akan sediakan laluan berbasikal di dalam kawasan bandar pula iaitu di sekitar Jalan Raja Laut dan Bukit Bintang kerana kita sedar orang ramai sudah mula berkayuh dalam bandar," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS