Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyifatkan Anugerah Perdana Maulidur Rasul yang diterimanya hari ini, sebagai "Khusnul Khotimah" atau suatu pengakhiran yang baik di sepanjang kariernya.

Menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-71 semalam, Syaikh Ismail berkata anugerah itu akan dijadikan motivasi dalam meneruskan kariernya sebagai penjawat awam dan berkhidmat kepada masyarakat sebaik mungkin.

"Di usia sebegini dan hampir di penghujung karier saya sangat gembira dapat menerima anugerah sebegini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M di Masjid Putra di Putrajaya.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai Imam Besar di Masjid Negara sejak 2007 berkata anugerah itu juga dianggap sebagai rezeki dari Allah sekalipun bagi beliau ramai lagi calon yang lebih layak untuk menerimanya.

Syaikh Ismail membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut menerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun ini ialah Anggota Jawatankuasa Syariah (Fatwa) Majlis Hal Ehwal Islam, Perak Datuk Saleh Mah@Ahmad, Juruacara Bahasa Arab Tilawah Al-Quran Antarabangsa Datuk Mahamud Abdul dan Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Selain itu, Profesor Madya Universiti Malaya Dr Syarifah Hayaati Syed Ismail; Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kolonel Mohd Sakri Hussin; Penceramah Bebas dan bekas penyanyi Kumpulan Nasyid Raihan, Nazrey Johani; Pendakwah Bebas Muhamad Abdullah dan atlet paralimpik Mohammad Azlan Mat Lazin juga menerima anugerah yang sama.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS