Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fokus pada kes kamu, kata IGP pada 'raja judi'
Diterbitkan:  Jan 4, 2015 12:18 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan Paul Phua, yang didakwa sebagai 'raja judi', menumpukan terhadap kesnya di Amerika Syarikat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung dakwaan bahawa polis membuat silap dalam laporannya berkaitan warganegara Malaysia itu, yang didakwa sebahagian daripada jaringan kongsi gelap antarabangsa.

“Oleh kerana perkara ini sedang didengar di mahkamah Amerika Syarikat, saya tidak mahu komen,” katanya kepada Malaysiakini .

Khalid juga mendedahkan bahawa polis Malaysia sentiasa berhubung dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS berhubung kes itu.

“Saya boleh sahkan bahawa kami berhubung. Nasihat saya pada Phua, fokus pada pendakwaan (terhadapnya),” katanya.

Kes itu mencuri perhatian selepas Datuk Seri Zahid Hamidi dilapor menulis kepada FBI dengan mempertahankan Phua, dengan berkata dia membantu kerajaan Malaysia dalam isu keselamatan.

Semalam, peguam terkenal Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Zahid menulis surat kepada FBI bagi membetulkan kesilapan dalam laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam itu, yang mengadakan sidang media bagi pihak pasukan peguam bela Phua, juga menegaskan bahawa kumpulan 14K, yang dia didakwa menganggotainya tidak beroperasi di Malaysia.

Laporan berhubung kontroversi surat itu didedahkan oleh South China Morning Post (SCMP) pada 18 Disember.

Harian Hong Kong itu juga menyiarkan semula keseluruhan kandungan surat itu.

Phua sekarang berada bawah tahanan rumah di Las Vegas.

Dia dan anaknya berdepan perbicaraan atas tuduhan menjalankan operasi perjudian haram daripada Hotel Caesar’s Palace semasa Piala Dunia Brazil tahun lalu.

Sementara itu, Kwong Wah Yit Poh melaporkan Zahid sebagai enggan mengulas perkara itu ketika ditanya pemberita di Putrajaya semalam.

Katanya, beliau akan membuat sidang media berkaitan perkara itu pada masa yang lain.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS