Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya membaca tulisan Wan Ji Wan Hussin, " Lepas 20 tahun, ke mana hanyut hisbah PAS? " di Malaysiakini (4 Januari 2015) dengan penuh minat.

Tulisan ini menuduh kerajaan Kelantan mungkir janji dari menubuhkan hisbah dalam pentadbirannya. Tentu saja, tudingan ini berupaya membuatkan kerajaan Kelantan resah.

Bagaimanapun, saya percaya, kerajaan Kelantan tidaklah perlu gundah-gulana. Sebab, biarpun apapun kritikan yang dilemparkan, kerajaan Kelantan takkan ditumbangkan. Mereka tetap berkuasa, setidaknya sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kenyataan saya ini bukannya untuk memperlekehkan kenyataan Wan Ji. Bukan juga untuk membela kerajaan Kelantan. Kenyataan saya ini adalah terpotret dari sebuah bentuk "kepura-puraan" demokrasi semasa kita.

Demokrasi, seperti yang selalu kita bayangkan, adalah imbasan dari frasa "dari rakyat, untuk rakyat, kepada rakyat". Konon, terdapat hubungan yang akrab antara kerajaan (state) dengan rakyat (people).

Namun, apabila Wan Ji ( atas ) membangkitkan bahawa kerajaan Kelantan ingkar akan janjinya, itu jelas meyakinkan saya bahawa sebenarnya memang tidak ada hubungan secara langsung antara kerajaan dengan rakyat.

Keduanya berada pada kutub yang berlainan, dan terpisah sama sekali.

Justeru, dengan menanggap bahawa kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat, barangkali, adalah sebuah utopia terbesar dalam sejarah demokrasi. Sebab, dari amalan demokrasi semasa, suara rakyat bukanlah suara keramat.

Pada saya, kerajaan boleh terus-menerus berfungsi tanpa memerlukan rakyat sekalipun. Sebab, realitinya, legitimasi politik terletak pada kerajaan. Bukan pada rakyat. Sebab itu, kerajaan boleh berjanji sakan. Tapi, akhirnya, tidaklah kerajaan tersebut berkewajipan untuk menunaikannya. Malah, mereka boleh dengan senang-lenang mengabaikan, ataupun paling tidak berdalih.

Ini semua boleh berlaku, dan dibenarkan berlaku, dalam sistem demokrasi 'moden' kita.

Demokrasi: Rasmi vs tak rasmi

Memang, rakyat boleh mengeluh. Hatta, menangis sampai berdarah pun boleh. Tapi, kerajaan boleh saja buat pekak badak. Sebab, air mata berdarah takkan dapat menyebabkan sesebuah pemerintahan digelar sebagai "kerajaan haram".

Mungkin akan ada yang berkata bahawa saya melihat demokrasi dengan wajah yang sebegitu pesimistik sekali. Di satu sisi, ini betul juga. Tapi di satu sisi yang lain pula, bukankah ini adalah hakikatnya? Percaya atau tidak, inilah rupa perjalanan demokrasi kita pada hari ini.

Sehubungan dengan itu, bagi menjelaskan betapa sahihnya warna kelabu demokrasi kita ini, maka eloklah saya menggariskan dua bentuk demokrasi kita. Pertama adalah demokrasi "versi rasmi".

Dalam demokrasi "versi rasmi" ini, kita dikhabarkan bahawa rakyatlah yang memberikan kuasa kepada kerajaan. Kuasa ini diberikan secara berkala menerusi sebuah pilihan raya umum.

Dari sini, ahli-ahli politik akan dipilih sebagai ahli parlimen mahupun sebagai ahli dewan undangan negeri. Dalam kata lain, mereka diangkat sebagai perwakilan kepada rakyat. Dan, mereka inilah yang nantinya akan memilih siapa di kalangan mereka bagi membentuk kerajaan.

Lazimnya, bila ada sesuatu peristiwa atau kepentingan, maka perwakilan rakyat ini adalah diharapkan membuat keputusan – menerusi dasar awam – yang boleh membela kepentingan rakyat. Secara ideal kita memikirkan inilah sistem politik yang berjalan dewasa ini.

Tapi, rupa-rupanya, apa yang berlaku adalah sebuah demokrasi "versi tidak rasmi". Dalam versi ini, demokrasi kita bermula apabila para pegawai kerajaan (termasuk para ahli politik terpilih) ditugaskan menyiapkan kertas kerja/cadangan untuk sesebuah keputusan.

Lalu kertas ini dimajukan ke parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN), dan mereka inilah yang akan menjustifikasikan sesuatu keputusan yang telah dimajukan. Dan, akhirnya, terpulanglah kepada rakyat hendak menerima mahupun menolak.

Tapi, apapun reaksi rakyat, kerajaan akan terus kekal di mihrab kekuasaan, setidaknya sehingga pilihan raya umum yang berikutnya.

Maka, dengan lakaran ini, kita telah melihat bahawa politik yang ada adalah terbatas kepada segitiga antara ahli politik, parti politik dan pegawai kerajaan sahaja. Rakyat cuma berfungsi sebagai penonton aksi-aksi politik mereka.

Tiada kaitan dengan rakyat

Dalam kata lain, politik kita pada hari ini adalah tidak lebih dari sebuah "penyusunan" bagi sesebuah keputusan yang telah pun diolah dan dibuat. Tidak lebih dari itu.

Berdasarkan keadaan ini, saya fikir bahawa adalah sebuah ilusi jika kita membayangkan bahawa kerajaan mestilah mendengar suara rakyat. Sebab, setiap apa yang berlaku dalam kerajaan tidak ada perkaitan secara terus dengan rakyat.

Lantaran itu, kerajaan boleh terus menanam tebu di bibir, atau bahkan, balak di bibir sekalipun. Sebab, mungkir janji takkan menyebabkan mereka disingkirkan dari tampuk kerajaan dengan serta-merta. Mereka hanya akan terkejut sekiranya terdapat sebuah kosa kata yang hilang dari genggaman mereka: yakni, kuasa.

Selagi kuasa mereka tidak tergugat, maka selagi itulah takkan ada perubahan yang signifikan dalam perjalanan sistem politik kita. Sistem politik ini akan terus kekal berlegar antara dikotomi kerajaan-pembangkang, dengan kuasa sebagai mediumnya.

Kerana itu, dalam logik politik seperti ini, hilang kekuasaan adalah igauan bagi mana-mana parti pemerintah. Dan, memperoleh kekuasaan adalah " ghanimah (harta rampasan) perang" bagi mana-mana parti pembangkang.

Lantas, sama ada pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang, yang terpenting buat mereka adalah: bagaimana hendak mendapatkan kuasa, atau bagaimana hendak mempertahankan kuasa.

Rentetan dari itu, jalan pintas untuk memaparkan bahawa mereka "ada" legitimasi politik adalah dengan menggunakan kata rakyat. Konon, bila nama rakyat dipakai atau dipanggil, maka itu membayangkan bahawa mereka ada legitimasi.

Sungguhpun begitu, tetap pada akhirnya legitimasi politik tidak terpampang pada siapa paling banyak menggunakan kata rakyat atau pada siapa yang paling lantang memanggil kata rakyat.

Politik, campur hiburan

Legitimasi politik natijahnya terletak pada satu dewan sekolah yang di dindingnya tertulis: pusat pengundian.

Jadi, saya tidak hairan sekiranya menteri besar Kelantan akan terus menafikan bahawa kegiatan pembalakan ada hubungkait dengan banjir. Atau, tidak juga pelik sekiranya beliau menafikan bahawa partinya mungkir janji dari menubuhkan hisbah dalam pentadbirannya. Sebab adalah tabii parti politik, apatah lagi parti pemerintah, untuk sentiasa menampilkan imej politik yang warak.

Dan, sekalipun menteri besar Kelantan ( kanan ) berbohong, kuasa mereka sebagai kerajaan Kelantan tidaklah tergeser.

Kerajaan hanya akan bertukar kedudukan dalam satu peristiwa sahaja: pilihan raya umum. Jadi, dalam sistem politik sebegini terhad, bahasa yang berkesan untuk 'mengajar' parti politik adalah dengan bahasa kuasa di hari pengundian.

Lalu, pada akhirnya saya tidak melihat bahawa ada banyak faedahnya untuk kita terus mengeluh ataupun menuduh kerajaan Kelantan (ataupun kerajaan Putrajaya sekalipun!) sebagai tidak menepati janji. Sebab, faktanya, sistem politik demokrasi kita memang tidak berfungsi sebagai pengawas sepenuh masa kepada janji-janji politik.

Sistem politik kita, menurut saya, bolehlah diibaratkan sebagai sebuah panggung teater, yang mana aktornya adalah para ahli politik, sementara penontonnya adalah rakyat, dan para petugas media akan melaporkannya baik-buruknya persembahan para ahli politik tersebut. Dalam citra sebegini, sudahnya, sistem politik kita adalah sebuah pertunjukan realiti (reality show).

Dan, menariknya, dalam citra politik seperti ini terdapat satu ciri tambahan: hiburan.

Memang, politik adalah juga sebuah hiburan. Tempat kita untuk berdekah-dekah. Berbanding dengan melihat politik sebagai wahana ideologi yang besar-besar, sebaliknya melihat politik sebagai sebuah komedi sepertinya membantu menenangkan jiwa-jiwa kita.

Dengan melihat politik sebagai sebuah jenaka juga, maka setidaknya kita tidaklah berada dalam keadaan tertekan sepanjang hari, tatkala menyaksikan banyak perkara yang tidak mampu kita ubah segera mungkin.


DIAN ANAIS adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Beliau boleh dihubungi menerusi [email protected].

Lihat Komen
ADS