Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu RM2.6j: MB disaran selesai cara diplomasi
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 11:53 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Menteri Besar Selangor Azmin Ali disaran menggunakan cara diplomasi terhadap lapan bekas pegawai Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk menyelesaikan isu pampasan RM2.6 juta, sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata mereka tidak wajar dipersalahkan kerana bayaran itu mengikut prosedur dipersetujui MBI sendiri, lapor Sinar Harian hari ini.

"Penerima tidak salah, kecuali wujud elemen paksaan, penipuan mahupun tindakan lain yang meragukan wang gratuiti itu diterima daripada pihak pengurusan MBI sendiri. Mereka bukan merompak atau ambil wang tanpa kebenaran.

“Bagaimanapun jika benar bayaran itu salah, ia adalah tanggungjawab pihak pentadbiran, bukan penerima,” kata Khairul Anuar seperti dilapor akhbar itu.

Beliau mengulas kenyataan Azmin yang dilapor meminta lapan bekas pegawai MBI itu memulangkan semula bayaran pampasan tersebut dalam masa 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan.

Azmin berkata pembayaran itu tidak mematuhi beberapa tatacara dan peraturan kewangan berhubung syarat dan kontrak penggajian mereka.

Dalam laporan itu, Khairul Anwar berkata pegawai kerajaan yang ditamatkan perkhidmatan wajar menerima pampasan bagaimanapun jumlah yang diterima oleh bekas pegawai itu "terlalu besar" dan memerlukan rundingan sebagai penyelesaian terbaik.

"Kedua-dua pihak ada asas untuk selesaikan kemelut ini secara dalaman melalui kaedah diplomasi," katanya sambil menyifatkan tindakan undang-undang adalah jalan terakhir menyelesaikan kemelut itu.

Dalam laporan yang sama, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata arahan pemulangan perlu diputuskan secara undang-undang.

“Arahan ini adalah arahan eksekutif. Sama ada sah atau tidak perkara itu perlu diputuskan secara undang-undang

“Mereka terima wang secara sah daripada bekas menteri besar, bagaimanapun menteri besar kini dakwa bayaran itu tidak sah dan mengarahkan pampasan itu dikembalikan.

"Jadi perkara ini perlu melalui proses undang-undang,” katanya seperti dilapor akhbar bahasa Melayu itu lagi.

Lihat Komen
ADS