Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Gaji 123,000 polis dipotong
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 12:13 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Bagi membantu meringankan beban hampir 1,500 anggota polis yang terjejas akibat banjir, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat potongan gaji terhadap lebih 123,000 anggota dan pegawainya.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, inisiatif itu dipersetujui semua wakil persatuan polis pada Isnin lalu dan potongan itu membabitkan gaji bagi bulan Januari ini, lapor Berita Harian.

 

Dalam laporan itu, beliau berkata potongan itu melibatkan semua peringkat dalam PDRM, daripada kakitangan awam sehingga kepada ketua polis negara.

Menurutnya lagi, nilai potongan antara RM5 hingga RM100 bergantung kepada pangkat masing-masing.

"Perkara tersebut turut mendapat persetujuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar," kata Mohamad Fuzi seperti dilapor akhbar itu.

Beliau juga berkata, seramai 1,422 pegawai dan anggotanya terjejas dalam banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mencadangkan kepada kerajaan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tempoh terdekat supaya penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah.

"Kalau boleh sumbangan minima RM5 tetapi kalau lebih daripada itu, kita amat alu-alukan," katanya.

Lihat Komen
ADS