Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail hari ini menafikan menyalahgunakan dana awam RM250 juta Pusat Fidlot Nasional untuk mendapatkan pinjaman bank untuk membeli lapan unit kondominium di KL Eco City.

Sebaliknya, beliau memberitahu mahkamah bahawa pendedahan yang dibuat oleh mantan pengarah strategik PKR Rafizi dan PKR bertujuan untuk menjatuhkan beliau, NFC, mantan menteri wanita Datuk Sharizat Jalil dan kerajaan BN.

Perbicaraan penuh kes Saman Mohamad Salleh terhadap ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan mantan setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berhubung pembelian lapan unit kondominium dijalankan di Makhamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam saman itu, Salleh berkata Nurul Izzah dalam sidang media bersama Rafizi pada 7 Mac 2012 membuat kenyataan berhubung pendedahan Rafizi yang mendakwa beliau (Salleh) menggunakan dana awam NFCorp untuk mendapat pinjaman daripada Public Bank agar dapat membeli lapan unit kondominium di KL Eco City.

“Walaupun masa itu tarikh pilihan raya negara masih belum ditentukan, namun ia telah terdekat dan ini sememangnya satu serangan terhadap saya, isteri saya dan kerajaan.

“Saya sangat sedih, seluruh projek saya telah musnah, keluarga saya juga, setiap orang seperti sudah mempercayai (dakwaan Rafizi),” kata Salleh sebagai saksi pertama kepada mahkamah.

Menjawab soalan peguamnya Tan Sri Shafie Abdullah sama ada beliau menyalahgunakan wang dana seperti didakwa oleh PKR, Salleh menafikan sekeras-kerasnya.

“Tidak ada langsung, saya langsung tidak sentuh wang dalam NFC”, katanya.

Salleh berkata, Public Bank memang ada menawarkan pinjaman kepadanya untuk membeli lapan kondominium di KL Eco City tetapi tawaran itu ditarik balik.

“Public Bank telah menarik balik tawaran pinjaman pada 4 Januari 2012 sebelum sidang media yang diadakan oleh Rafizi dan PKR pada 7 Mac 2012,” jelasnya.

Salleh berkata beliau pernah mendeposit wang ke dalam akuan Public Bank sebagai penilaian semasa tawaran pinjaman tersebut, maka mungkin penyata-penyata akaun Public Bank yang ditunjukkan oleh Rafizi sebulan selepas penarikan tawaran ialah akuan yang belum dibatalkan.

Jelasnya lagi, akaun Public Banknya digunakan untuk mengaktifkan pinjaman bagi pembelian dua hartanah di Plaza Damas 3 dan tiada kaitan dengan KL Eco City.

Katanya, beliau ada mendepositkan sebahagian wang dana NFC berjumlah RM71.4 juta dalam akuan Public Bank, namun beliau tidak pernah menyentuh atau menggunanya sehingga wang itu dibekukan.

Beliau berkata, kesemua pinjaman yang dibuat olehnya terhadap bank adalah melalui gadaian hartanah dan bukannya melalui gadaian dana awam.

Lihat Komen
ADS