Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tolak k'jaan campuran, PAS terus dikritik
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 1:16 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Pemimpin Umno terus mengambil sikap menyerang PAS kerana menolak cadangan mewujudkan kerajaan campuran kedua-dua parti untuk membangunkan Kelantan selepas banjir.

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan pemimpin PAS yang menolak cadangan itu sebagai angkuh, sombong dan tidak mempunyai roh Islam dalam merintis jalan perpaduan.

“Kalau mereka ada roh atau menjiwai perjuangan Islam, mereka tidak tolak cadangan sesetengah pihak yang mahu Umno-PAS bersatu atas kepentingan umat Islam.

“Mengapa sesetengah pemimpin PAS cepat melenting bila dikaitkan dengan Umno (penyatuan), tetapi mereka sanggup pula bersubahat dengan DAP, parti rasis yang sentiasa tidak senang hati melihat kebangkitan orang Melayu," katanya dipetik daripada blog Umno bahagian itu.

Cadangan agar kerajaan campuran diwujudkan di Kelantan, pada asalnya dilontarkan pemilik akhbar Sinar Harian , Datuk Hussamuddin Yaacub, yang juga seorang anak negeri itu.

Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menolak cadangan itu dan menyifatkan Umno sebagai '3P' iaitu penzalim, pembuli dan pendera kepada Kelantan.

Menurut Mahfuz, kerajaan campuran tidak akan berlaku di Kelantan sebaliknya PAS menumpukan kerjasama G2G iaitu kerajaan dengan kerajaan.

'Kamulah pendera dan pembuli, PAS'

Sementara itu, pergerakan Pemuda Umno juga menyelar sikap PAS yang  menolak mentah-mentah cadangan kerjasama itu.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pemimpin PAS perlu melihat idea itu secara menyeluruh untuk kebaikan jangka masa panjang.

“Hakikat sebenarnya merekalah yang pendera, penzalim dan pembuli kerana masih mengutamakan politik sehingga sanggup membiarkan rakyat menderita.

"Musibah banjir ini telah membuka tembelang pemimpin PAS yang sebenarnya,” lapor web Umno Online .

Lihat Komen
ADS