Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa sumbangan kepada mangsa banjir dilakukan secara terpilih.

Katanya, beliau tidak tahu sekiranya perkara itu dilakukan oleh parti lain.

Bagaimanapun, Ismail berkata, pihak kerajaan memberi bantuan secara menyeluruh kepada semua penduduk kampung tanpa mengira parti politik.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bera itu mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara yang tidak betul berkaitan pemberian sumbangan kepada mangsa banjir.

"Sekarang ini ramai yang suka buat fitnah kerana ramai tak ada kerja. Jadi mereka kreatif dan fikir bukan-bukan. Saya tak tahu parti lain, tetapi kerajaan kita beri kepada semua.

"Saya percaya secara keseluruhan ia tak berlaku. Tapi dalam keadaan banjir ini akan ada yang ambil kesempatan untuk kepentingan politik.

"(Sebelum ini) beberapa orang dah kena tangkap kerana benda yang tak betul di keluarkan di media sosial," katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.

'Kementerian angkat'

Pemimpin Umno itu mengulas soalan pemberita berkaitan terdapat dakwaan yang mengatakan wujudnya pemberian sumbangan kepada mangsa banjir secara terpilih.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pembahagian bantuan menyeluruh oleh kerajaan kepada mangsa banjir diuruskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Kalau (bantuan) ke kampung, kita hantar pada JKKK. Jadi JKKK yang akan membuat pembahagian. Kita (kerajaan) tak mungkin boleh hantar ke semua rumah," katanya lagi.

Sementara itu, Ismail berkata, pasukan pasca banjir Pahang telah memulakan aktiviti pembersihan di Jerantut pada Jumaat lalu.

Menurutnya lagi, penyelarasan bantuan banjir ke daerah yang teruk dilanda banjir di negeri tersebut akan diselia oleh "kementerian angkat".

Kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pertahanan (Jerantut dan Kuantan), Kementerian Kerja Raya (Temerloh), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Kuala Lipis), Kementerian Sumber Manusia (Maran), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Bera) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Pekan).

"Gerak kerja akan lagi tersusun kerana ada kementerian angkat. Ia akan lebih teliti dan lebih terperinci dengan ada kementerian angkat," katanya.

Lihat Komen
ADS