Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: RM52.5j bina rumah mangsa banjir di K'tan
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 5:52 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menganggarkan dana sebanyak RM52.5 juta diperlukan sebagai inisiatif membina semula kira-kira 1,500 rumah rakyat yang dikenal pasti telah musnah akibat bencana banjir di negeri itu.

Bersimpati dengan nasib mangsa banjir khususnya di kawasan selatan negeri itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari penempatan dan setakat ini sebanyak 224 khemah penempatan sementara telah disediakan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ketua jajahan di bandar Gua Musang.

"Kerajaan turut memastikan mana-mana bangunan komersial yang belum diguna atau kuarters kerajaan atau perumahan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir negeri dan diselaraskan dengan Jawatankuasa Khas Banjir melalui Timbalan Pengerusinya iaitu Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan," katanya.

Selain inisiatif projek jangka panjang itu, kerajaan negeri menyeru kepada dermawan dan pihak tertentu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membina penginapan sementara seperti rumah transit, membekalkan kanvas dan khemah melalui ketua-ketua jajahan.

"Kerajaan amat prihatin terhadap persekolahan anak-anak bagi sesi 2015," katanya dalam satu kenyataan.

"Dengan itu kerajaan meluluskan melalui YAKIN di bawah bantuan kemiskinan dan persekolahan sejumlah RM50 ribu kepada setiap ADUN dan penyelia DUN bagi meringankan beban anak ke sekolah," katanya.

Selain itu, Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan gerak kerja pembersihan dan memungut sampah sarap yang ada dengan segara.

"Kerajaan negeri telah meluluskan RM50 ribu kepada setiap PBT untuk tujuan tersebut," katanya.

Beliau turut mengingatkan banjir besar di negeri itu seperti berlaku dalam sejarah Islam yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak.

Lihat Komen
ADS