Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
37 mayat ditemui, 4 dikenal pasti
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 6:53 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

NAHAS QZ8501 (hari kesembilan)

Empat lagi dikenal pasti

5pm: Empat lagi daripada 37 mayat dikenal pasti hari ini, lapor detik.com. Mereka ialah:

1. Shiane Josal, berusia 45 tahun, dari Makassar

2. Tony Linaksita, 42 tahun, dari Surabaya

3. Yap Koen Lim, berusia 61 tahun, dari Surabaya

4. Jou Yongki, berusia 53 tahun, dari Surabaya.

Semuanya adalah warga Indonesia.

Keluarga tolak pampasan AirAsia

3.45pm: Salah seorang ahli keluarga penumpang, Franky Chandra, berkata majoriti keluarga mangsa enggan menerima pampasan 300 juta rupiah Indonesia (kira-kira RM85,000) yang ditawarkan oleh AirAsia, laporan detik.com.

Franky adalah saudara kepada Gani Chandra, salah seorang penumpang yang hilang.

AirAsia dan keluarga penumpang telah bertemu beberapa kali di Surabaya sejak pesawat itu hilang.

Franky tidak pasti sama ada ini adalah sebahagian daripada bayaran insurans tetapi berkata terma dan syarat-syarat pampasan tidak begitu tepat.

Bagaimanapun beliau juga berkata sesetengah keluarga mungkin telah menerima pampasan.

Ahli keluarga akan dibawa ke tempat nahas

3pm: Menteri Pengangkutan Indonesia Ignasius Jonan mengarahkan supaya semua pegawai yang bertugas ketika QZ8501 hilang, digantung tugas, laporan detik.com .

Channel NewsAsia melaporkan bahawa Ketua Angkatan Tentera Indonesia Moeldoko telah menawarkan untuk membawa ahli keluarga mangsa ke lokasi nahas.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Moeldoko kata ahli keluarga akan diterbangkan dengan pesawat tentera ke Pangkalan Bun, sebelum menaiki kapal tentera laut ke kawasan carian.

Ketua Polis Sutarman juga memberi jaminan kepada ahli keluarga yang bahawa semua mayat akan dikenal pasti. Katanya, terdapat 260 doktor di lokasi, yang dibantu oleh pakar-pakar asing, untuk menjalankan tugas itu, laporan CNA.

Sementara itu, Bernama melaporkan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kasturi (KAS), menemui tiga lagi mayat terapung di Laut Jawa ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang memasuki hari kesembilan hari ini.

    

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, mayat itu terdiri daripada seorang wanita manakala dua lagi belum diketahui identitinya.

    

"KAS menjumpai satu lagi jasad pada 11.30 pagi di Sektor IV. Jasad itu dan dua lagi yang ditemui pada 051000H (10 pagi hari ini) tadi telah dinaikkan. Ia seorang wanita, dua lagi tidak diketahui," katanya.

Dengan penemuan itu, menjadikan keseluruhan tujuh mayat mangsa pesawat berkenaan berjaya ditemui pasukan SAR TLDM yang menyertai misi SAR QZ8501 di perairan Laut Jawa sejak Isnin minggu lepas.

    

Abdul Aziz berkata KAS menggantikan KD Lekir yang menamatkan operasinya dalam misi itu dan telah kembali ke Malaysia.

Rabu lepas, KD Lekir menemui satu mayat terapung di kawasan pencarian Sektor I di Laut Jawa manakala pada sebelah petangnya, KD Pahang pula menemui tiga mayat di Sektor IV.

    

Selain tiga kapal TLDM iaitu KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu yang dilengkapi helikopter jenis Fennec, Malaysia juga menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu C-130, CN235 dan Beechcraft, untuk menyertai operasi mencari pesawat malang berkenaan.

    

Pesawat Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

    

Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi.

    

Penumpang pesawat itu terdiri daripada warga Indonesia seramai 149 orang, Korea Selatan (tiga), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masing seorang).

    

Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS