Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jet k'jaan didakwa bakar minyak hampir RM500K'
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 6:58 PM
Dikemaskini: Jan 6, 2015 3:03 AM

Pemuda PKR (AMK) menganggarkan kos minyak pesawat orang kenamaan (VIP) kerajaan, yang didakwa terbang ke pelbagai tempat sebelum ini, menelan belanja hampir RM500,000.

Ketua Penerangan AMK Lee Chean Chung berkata kiraan mereka menganggarkan sebanyak RM493,304 dibelanjakan untuk mengisi 64,232.36 gelen minyak.

Ini, kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu, dengan mengambil kira harga RMRM7.68 untuk segelen minyak jet.

Lee berkata, kos itu belum lagi mengambil kira upah juruterbang, kos pendaratan, kos parkir, kos penyimpanan, kos tanjakan pesawat dan kos penyelenggaraan jet.

Di samping mempersoalkan siapa yang akan menanggung kos itu, AMK juga menegaskan nilai itu boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir di negara ini.

“Dengan anggaran harga pemborong beras RM2 sekilo, RM494,404 boleh digunakan untuk membeli 247 tan (247,202kg) beras untuk diagihkan kepada para mangsa banjir.

“Jika digunakan untuk membeli sardin (harga RM2.50 setin), RM494,404 boleh menampung 197,761 tin sardin untuk diagihkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin semalam menulis bahawa beliau mendapat penjelasan daripada pegawai Najib bahawa jet itu ditinggalkan di AS selepas mengalami isu teknikal.

Penjelasan itu, seperti dimaklumkan Kadir, juga menyebut bahawa ia tidak ditinggalkan untuk kegunaan keluarga perdana menteri atau dibawa ke Indianapolis.

Jet yang asalnya membawa Najib untuk bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama itu dilapor pulang ke Malaysia malam tadi, menurut sistem pengesanan penerbangan Flightradar24.

Percutian itu dipendekkan apabila Najib pulang dengan penerbangan lain pada 27 Disember ekoran banjir buruk di negara ini.

Bagaimanapun, pesawat itu dilapor berlepas tanpa Najib ke Los Angeles, Indianapolis, kembali ke Los Angeles, New York, London, Dubai dan akhirnya Bangkok.

Indianapolis bagaimanapun menjadi tempat syarikat Comlux Aviation, yang dilapor mempunyai kontrak penyelenggaraan enam tahun untuk pesawat itu, berpangkalan.

Pejabat perdana menteri dan Comlux masih belum memberi respons terhadap pertanyaan Malaysiakini pada 2 Januari, yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS