Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
13 bas musnah dalam kebakaran
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 7:00 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Sebanyak 13 buah bas termasuk sebuah bas sekolah musnah dalam kebakaran di depoh simpanan bas di Jalan Kota Kecil, Kota Tinggi, awal pagi ini dengan kerugian dianggarkan RM600,000.

    

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi itu disedari oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

    

"Daripada 13 buah yang terbakar, 12 merupakan bas kilang manakala sebuah lagi bas sekolah. Yang rosak sepenuhnya adalah tujuh buah, manakala selebihnya terbakar di bahagian cermin, belakang dan depan bas sahaja.

    

"Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Menurut beliau, dua buah jentera bersama-sama 10 anggota digerakkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 4.26 pagi.

    

"Kami mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran," katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.

    

Sementara itu, pemilik bas berkenaan, Gaiganesh Ramakrishnan, 35, yang dihubungi berkata dia dimaklumkan tentang kejadian itu melalui panggilan telefon oleh seorang polis peronda kira-kira 4 pagi ketika dia sedang nyenyak tidur.

    

Gaiganesh, yang tinggal di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, berkata bas berkenaan dimiliki keluarganya sejak 40 tahun lalu untuk disewakan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS