Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tubuh segera mahkamah rayuan khas syariah'
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 7:16 PM
Dikemaskini: 11:24 AM

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Mahkamah Rayuan Khas Syariah Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi memberi lebih peluang kepada pihak yang tidak berpuas hati merayu ke peringkat yang lebih tinggi.

    

Presidennya Musa Awang berkata dengan penubuhan Mahkamah Rayuan Khas Syariah, ia akan membuka peluang lebih luas kepada peguam syarie di negara ini memandangkan perkhidmatan guaman syarie ketika ini amat terbatas berbanding peguam sivil.

    

Beliau berkata dengan adanya mahkamah itu juga ia mampu mempertingkatkan lagi penzahiran usaha-usaha kerajaan dan negeri-negeri terhadap kedudukan, kemuliaan dan keistimewaan institusi Raja-Raya Melayu dan institusi-institusi pengurusan agama Islam.

    

"Oleh itu kita (PGSM) mahu kerajaan memberikan tarikh tepat bila Mahkamah Rayuan Khas Syariah ini akan ditubuhkan kerana orang ramai sering bertanya kepada persatuan mengenai mahkamah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini mengenai perkembangan cadangan penubuhan mahkamah itu.

    

Beliau berkata kertas cadangan itu kini berada di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya dan cadangan penubuhannya telah mendapat persetujuan daripada jemaah menteri pada 23 Disember 2009.

Menjelaskan mengenai mahkamah itu, Musa ( atas ) berkata sejak merdeka lagi hierarki prosiding rayuan bagi kes bermula di Mahkamah Tinggi Syariah hanya boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah iaitu satu peringkat sahaja, sedangkan bagi kes bermula di Mahkamah Rendah Syariah, keputusan boleh dirayu melalui dua peringkat iaitu ke Mahkamah Tinggi dan Rayuan.

    

"Berbeza dengan sistem rayuan di Mahkamah Sivil, setiap kes bermula di Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan. Keadaan ini menggambarkan ketidakseimbangan dalam proses keadilan di Mahkamah Syariah," katanya.

    

Oleh itu dengan adanya Mahkamah Rayuan Khas Syariah ini akan dapat memberi keadilan kepada pihak yang tidak berpuas hati merayu ke peringkat yang lebih tinggi dan ia juga akan menyelaraskan keputusan undang-undang Islam di seluruh Malaysia, katanya.

    

Menurut Musa, penubuhan mahkamah itu tidak melibatkan sebarang pindaan ke atas mana-mana Perkara, Jadual serta bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan manakala bagi mahkamah Rayuan Khas Syariah Negeri pula hanya melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada yang terdapat dalam Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri-Negeri.

    

Cadangan penubuhan mahkamah itu juga tidak mengurangkan kuasa Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama, katanya.

    

Mengenai bidang kuasa mahkamah itu, Musa berkata mahkamah itu antaranya mempunyai kuasa untuk memutuskan rayuan atau semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan negeri-negeri serta rujukan berhubung persoalan undang-undang berkepentingan awam dan konflik bidang kuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS