Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Isteri saya tiada kaitan dengan pentadbiran MIC'
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 7:49 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Datuk G Palanivel menegaskan bahawa isterinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pentadbiran MIC, begitu juga dengan ahli keluarganya.

Presiden MIC itu menafikan bahawa isterinya adalah "presiden sebenar MIC" seperti yang didakwa oleh seorang pemimpin parti yang digugurkan daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Dalam satu kenyataan, Palanivel menggesa pihak yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan tuduhan yang melibatkan ahli keluarganya. [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Palanivel berkata bahawa beberapa individu membuat kenyataan buruk terhadapnya dan anggota keluarganya yang tersiar melalui media.

"Saya amat memahami reaksi seseorang yang disingkir daripada jawatannya dan mereka yang mempunyai agenda peribadi," katanya dalam kenyataan itu.

    

Palanivel berkata beliau melantik seorang peguam bernama Chandra untuk mengendalikan isu yang timbul dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana beliau mempunyai kelayakan dari segi undang-undang serta berpengalaman luas dalam mengendalikan perkara berkaitan undang-undang.

    

"Saya dan timbalan presiden tidak mempunyai kelayakan untuk mengendalikan perkara berkaitan undang-undang. Oleh itu, tiada salahnya beliau dilantik dan bertindak untuk MIC dalam perkara berkaitan ROS itu," katanya.

Beliau berkata isu utama dalam perkara berkaitan ROS ialah tentang sah atau tidaknya Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Oleh itu, isu CWC melantik peguam tidak sepatutnya timbul dalam keadaan sekarang.

    

Palanivel juga menggesa semua pihak supaya berhenti daripada membuat tuduhan tidak berasas dan mengelirukan anggota parti bagi tujuan meraih keuntungan peribadi.

    

Katanya keadaan yang dihadapi MIC dengan ROS sekarang adalah kerana "minoriti yang kalah dalam pemilihan".

    

"Perkara begini boleh berlaku dalam mana-mana pemilihan parti yang dijalankan secara demokratik dan apabila puak majoriti mencapai kemenangan, puak minoriti tidak berpuas hati. Kami sedang menangani perkara ini secara serius," katanya.

Lihat Komen
ADS