Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penunjuk perasaan berarak di beberapa bandar di Jerman pada Ahad bagi menyatakan bantahan terhadap jumlah tinggi pendatang ke negara itu yang pada mata mereka mempertingkatkan pengaruh Islam.

Ia sekali gus dilihat bagi menunjukkan cabaran mereka terhadap Canselor Jerman Angela Merkel yang menolak perhimpunan yang dilihatnya sebagai rasis itu.

Perhimpunan itu diajurkan sebuah pergerakan akar umbi baru yang dinamakan Rakyat Eropah Patriotik Menentang Islamisasi di Barat (PEGIDA).

Ia kini hampir menjadi acara mingguan di bandar Dresden di timur Jerman dalam beberapa bulan terakhir.

Kira-kira 18,000 orang, angka terbesar setakat ini, turun ke Dresden pada Isnin.

Bagaimanapun penunjuk perasaan sama di Berlin dan Cologne di sebelah barat ditenggelami kumpulan berbeza pandangan yang melihat PEGIDA sebagai rasis dan tidak bertolak ansur.

Peserta perhimpunan PEGIDA mengibarkan bendera hitam, merah dan emas Jerman serta mempamerkan poster bertulis “Menentang ketaksuban agama dan semua jenis radikalisme”.

Di Cologne, kelihatan poster seperti “kentang lebih baik daripada kebab donor (kebab turki)”, yang menyindir etnik Turki.

Canselor: Hati penuh kebencian

Terdapat kira-kira tiga juta pendatang Turki, terbesar di negara itu.

Jerman mempunyai undang-undang suaka paling liberal di dunia, sebahagiannya ekoran sejarahnya yang berkaitan Nazi.

Jumlah pemohon suaka di negara itu melonjak kepada 200,000 orang tahun lepas – empat kali berbanding 2012.

Dalam ucapan tahun baru, canselor Jerman menggesa rakyat negara itu tidak mengendahkan kelompok anti-Muslim yang baginya “hati mereka penuh dengan kebencian”.

“Kita harus... katanya bahawa pelampau sayap kanan, yang memusuhi orang asing dan anti-Yahudi tidak harus dibenarkan berada dalam mana-mana masyarakat kita,” kata Merkel pada Isnin di Neustrelitz, sebuah bandar di sebelah timur Jerman.

Di Cologne, lokasi teramai umat Islam, terdapat sepuluh kali gandar jumlah penentang PEGIDA.

Begitu juga di kawasan berbilang kaum di Berlin yang menyaksikan kira-kira 5,000 orang menenggelamkan kira-kira 400 penunjuk perasaan anti-Muslim, menurut polis tempatan.

Gereja Cologne, antara mercu tanda Jerman, mematikan lampu sebagai tanda bantahan terhadap kumpulan anti-Muslim itu.

Lihat Komen
ADS