Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan NGO Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) meminta Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi penjelasan berhubung kes perwakilan GERAKAN yang mendakwa orang Melayu adalah pendatang, tidak diteruskan.

Timbalan PEMBELA, Aminuddin Yahaya berkata surat daripada polis yang mereka terima mengatakan kes itu tidak diteruskan, dianggap terlalu ringkas tanpa sebarang penjelasan.

"Dalam surat tersebut, dinyatakan bahawa kes kini telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya yang telah memutuskan bahawa kes tidak diteruskan tanpa memberi sebarang alasan.

"Oleh itu, PEMBELA mendesak pihak pejabat Peguam Negara mengemukakan alasan kenapa kes ini tidak diteruskan," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Aminuddin yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, pihaknya bimbang sekiranya peguam negara melakukan pendakwaan secara terpilih.

"Kita juga rasa risau kerana ada kes yang tertentu, yang dinyatakan dalam laporan tertentu diambil pula tindakan. Seolah-olah ada pendakwaan terpilih oleh pihak peguam negara.

"Saya rasa itu antara benda yang merisaukan kami dalam (usaha) menjaga keamanan kaum di Malaysia," katanya lagi.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, pihak PEMBELA akan terus mendesak peguam negara supaya memberi penjelasan yang jelas kerana enggan meneruskan pendakwaan dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak NGO itu tidak akan bertemu atau menulis sebarang surat bagi meminta penjelasan daripada peguam negara.

"Peguam negara tidak boleh salahkan (kami) kalau NGO Melayu-Islam ada pandangan negatif dengan jawapan seperti ini.

"Kita nak desak biar ada jawapan yang jelas. Tidak (bertemu atau menulis surat). Cukuplah kenyataan media dan sidang media," katanya lagi.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dan Presiden MUAFAKAT Ismail Mina Ahmad.

Tekanan itu berhubung kenyataan seorang perwakilan GERAKAN Tan Lai Soon pada Oktober tahun lalu yang mendakwa orang Melayu adalah pendatang.

Lihat Komen
ADS