Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini menepis dakwaan kumpulan 25 'Melayu Ternama' (G25) yang menyifatkan NGO tersebut sebagai ekstremis dan fanatik agama.

Timbalan Presiden ISMA Aminuddin Yahaya berkata sehingga kini NGO itu "tidak faham" mengapa ada pihak termasuk kumpulan terebut menggelarkan mereka sedemikian.

Bercakap dalam sidang media di ibu negara, Aminuddin berkata apa yang ISMA perjuangkan hanyalah untuk mempertahankan perlembagaan dan agama Islam.

"Saya tak faham orang kata kita ekstremis. Kita hanya pertahankan perlembagaan dan agama Islam.

"Kita pertahankan perlembagaan kerana perlembagaan sudah cukup sempurna. Ada hak orang Islam, yang bukan Islam, bumiputera dan bukan Melayu.

"Tapi ada pihak tertentu yang mahukan hak sama rata bukan sahaja dari segi ekonomi malah semua perkara termasuk agama Islam," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan kumpulan Melayu Ternama itu yang mengatakan ISMA sebagai ekstremis dan bercadang untuk bertemu dengan mereka.

Sebelum ini 25 bekas penjawat awam kanan menulis surat terbuka meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kepimpinannya terhadap kumpulan sayap kanan yang tiada toleransi.

Belajar perlembagaan, Islam

Mereka mengkritik PERKASA dan ISMA sekaligus menyuarakan kebimbangan jika ekstrimis dan fanatik agama tidak dipantau.

Hal demikian mengundang reaksi positif daripada pelbagai NGO yang menyokong tindakan kumpulan 'Melayu ternama' itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut menasihatkan 25 tokoh ternama itu supaya mempelajari perlembagaan dan ilmu berkaitan Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ini kerana, katanya, kenyataan yang dibuat oleh G25 sebelum ini dilihat lebih cenderung kepada pengaruh daripada laporan media yang menggelarkan NGO itu sebagai ekstremis.

"Mereka (G25) banyak terpengaruh dengan laporan akhbar tertentu yang menggelarkan kita ini semua sebagai ekstrimis dan fundamentalis.

"Kita rasa, mereka lebih terpengaruh oleh media yang sengaja melemahkan rakan-rakan Islam.

"Kita cadangkan, tengok-tengoklah perlembagaan. Belajarlah sikit ilmu Islam supaya dapat memahami. Mereka pun dah bersara, jadi jarang-jarang baca benda seperti ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS