Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Banyak pihak berspekulasi berhubung 'sebab sebenar' penganjuran acara artis k-pop B1A4, yang menyaksikan aksi kontroversi peluk cium, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempunyai versinya tersendiri.

Beliau pergi lebih jauh dengan mengaitkan apa yang berlaku dengan agenda global untuk “menjatuhkan maruah wanita Islam”.

“Saya bimbang yang pakai tudung ini sebenarnya orang yang tidak memakai tudung tetapi diupah memakai tudung dan melakukan agenda yang tidak bermoral.

“Saya bimbang itu yang akan berlaku seperti mana banyak khabar angin yang dibuat (seperti dalam) isu pembunuhan di Perancis adalah agenda Mossad (badan risikan Israel, kiri ).

“Sama juga seperti apa yang berlaku pada acara malam tadi. (Mungkin) bukan wanita yang pakai tudung yang naik (pentas).

"Tetapi untuk menjatuhkan maruah wanita Islam."

Beliau berharap pihak berkuasa dan kementerian berkaitan menyiasatnya.

Kenapa dapat kelulusan?

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur petang ini, Mahfuz kesal apabila program itu diluluskan kerajaan.

“Atas dasar apa mereka beri kebenaran artis luar dibawa masuk.

"Dan apa garis panduan (program) ini? Seolah-olah tidak ada garis panduan kepada penganjur dan penganjur boleh buat apa sahaja (termasuk) peluk dan cium.

“Saya minta satu siasatan dibuat oleh pihak berkuasa kepada penganjur kerana saya bimbang sekiranya penganjur ini yang cipta satu suasana untuk bersifat penghinaan kepada Islam,” katanya.

Penganjur acara itu TGM Events hari ini menjelaskan bahawa mereka tidak berniat membiarkan gadis bertudung dipeluk dan dicium kerana ia dipilih secara rawak.

Menurutnya lagi, penonton juga telah diberitahu supaya tidak terlalu dekat atau menyentuh artis.

Kejadian juga berlaku dengan kerelaan penonton, kata TGM.

Syarikat itu juga meminta maaf jika laporan berkaitan di media menyebabkan masalah kepada artis dan peminat dan berjanji mengambil kira faktor agama dan budaya selepas ini.

Menurut rakaman, gadis tempatan naik ke pentas sebelum berpelukan dan merelakan dicium dan dirangkul artis itu, sambil disambut sorakan penonton.

Lihat Komen
ADS