Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri disyor henti pembalakan 10 tahun
Diterbitkan:  Jan 14, 2015 8:49 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesyorkan agar aktiviti pembalakan dihentikan selama 10 tahun di setiap kerajaan negeri sebagai satu daripada usaha untuk membendung bencana banjir.

    

Beliau berkata kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri harus bekerjasama untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai negara 'bebas balak', jika ingin melihat negara ini terselamat daripada bencana banjir.

    

"Saya cadangkan berhentilah melakukan pembalakan. Mereka (kerajaan negeri) kena berbincang dengan kerajaan pusat untuk cari sumber pendapatan lain (selain daripada balak)," katanya kepada kepada pemberita selepas melawat enam keluarga yang terjejas akibat banjir di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Batu Badak, di Segamat semalam.

    

Beliau berkata kerajaan memandang serius isu pembalakan yang berlaku di sesetengah tempat seperti di Marang (Terengganu), Jerantut dan Cameron Highlands (Pahang) serta Gua Musang (Kelantan).

    

"Melihat contoh di Kelantan sahaja, banyak kawasan hutan yang cantik-cantik, tetapi sayang disebabkan ada tangan-tangan manusia, tempat ini rosak hingga tidak bernilai apa-apa lagi," katanya.

Shahidan juga menempelak kerajaan negeri yang mendakwa kononnya banjir tidak berkait dengan pembalakan dan penerokaan tanah secara melampau kerana beliau sendiri mempunyai fakta mengenai perkara itu.

    

"Bukti itu lebih berbentuk bergambar, ia cukup jelas menggambarkan keadaan itu (pembalakan haram)," katanya.

    

Katanya, beliau akan cuba berjumpa Peguam Negara hari ini bagi melihat jenis tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang terbabit dengan pembalakan haram.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS