Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang adalah cita-cita Mejar Zaidi Ahmad, 47 tahun, sejak kecil lagi.

Hampir setiap hari, anak pemandu bas ini tidak akan melepaskan peluang menanti pesawat pejuang dari Pengkalan Udara Butterworth terbang melintasi kampungnya, Kampung Permatang Tengah, Kota Kuala Muda, Kedah.

"Kampung saya dekat dengan Pengkalan TUDM Butterworth. Jadi, kalau jet pejuang berlepas mereka akan melalui atas kepala di kampung saya," kata Zaidi.

Ia mendorong Zaidi, anak kelima daripada lapan adik beradik untuk menyimpan cita-cita berbakti dalam Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM).

Namun, selepas mengorbankan lebih daripada separuh umurnya kepada ibu pertiwi, Zaidi dibuang kerja kerana kesalahan membuat kenyataan media dan menyiarkan surat pertukarannya tanpa izin Majlis Angkatan Tentera.

Keputusan Mahkamah Tentera itu dibuat genap pada sehari selepas ulang tahun ke-26 Zaidi bertugas bersama TUDM.

Berlapang dada

Zaidi redha dengan keputusan itu walaupun yakin beliau melakukan perkara yang betul.

Beliau bagaimanapun mengaku tetap sedih walaupun sudah bersedia menghadapi "kemungkinan paling teruk".

"Saya bersedia untuk kemungkinan yang paling teruk. Paling ringan hukumannya akan dibuang kerja dan betullah kita dibuang kerja.

"Paling teruk kalau dipenjaralah. Itu pun saya dah bersedia.

"Sedih itu memanglah, kita dah bertahun-tahun berkhidmat dalam tentera, cuti pun kadang-kadang tak dapat ambil," katanya yang mempunyai anak berusia di antara 21 dan 4 tahun.

Walaupun begitu, Zaidi mengakui beliau meninggalkan kariernya dalam TUDM dengan dada yang lapang.

Ini kerana beliau sudah mencapai tahap yang tertinggi perjalanan karier seorang juruterbang pesawat pejuang – menjadi seorang jurulatih kepada juruterbang.

"Kemuncak karier saya, saya dapat capai tahap paling tinggi, sebagai jurulatih juruterbang pesawat pejuang.

"Pesawat terakhir saya adalah Ultra A5E F-5E/F, saya seorang jurulatih dan pemeriksa pesawat itu.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian ini," katanya.

Beza dengan Kol Saadon

Hukuman ke atas Zaidi dijatuhkan oleh lima ahli panel mahkamah yang dipengerusikan Kolonel Saadon Hasnan.

Saadon mencuri tumpuan ramai apabila didakwa meninggalkan komen menerusi akaun Facebook ke atas satu berita perbicaraannya yang disiarkan Malaysiakini .

Komen itu didakwa dibuat sebelum Zaidi diperintahkan membela diri terhadap dua daripada tujuh tuduhan awal.

Susulan itu, Zaidi dan peguamnya Hanipa Maidin memohon agar mahkamah tentera itu dibubar dan kes beliau digugurkan.

Namun, permintaan itu ditolak pihak berkuasa sidang tentera dan Saadon kekal mempengerusikan mahkamah tersebut.

Zaidi berkata, walau beliau dan Saadon sama-sama menjadi juruterbang pesawat pejuang TUDM, masih ada perbezaan ketara di antara mereka berdua.

"Saya tak pernah bekerja dengan dia tapi kami dari kalangan juruterbang jiwa lebih kurang sama.

"Jiwa juruterbang pejuang kami dilatih supaya berani, dan berdikari untuk mengharungi masa-masa sukar.

"Cuma daripada segi persekutuan politik mungkin berbeza... kebanyakan orang lebih senang tunduk kepada sistem sedia ada.

"Mungkin orang itu berjiwa pejuang masa dia bawa kapal terbang sahaja tetapi di luar dia bermain secara selamat, mengikut arahan dan kerjanya selamat," ulasnya.

Namun jelasnya, selari dengan konsep dakwah Islam, beliau tidak akan mengambil sikap bermusuhan dengan ahli mahkamah mahupun pihak pendakwaan kesnya.

"Tak guna saya hendak bermusuhan dengan mereka. Dalam konsep dakwah dalam Islam mungkin hari ini mereka tak ikut kita, mungkin hari kemudian.

"Jadi kita jaga hubungan itulah," jelasnya.

Kini, Zaidi merancang untuk menulis sebuah buku ketenteraan bagi membuat perbandingan di antara keupayaan pertahanan di antara negara-negara Asia.

Ia akan menjadi buku kedua tulisannya selepas buku pertamanya bertajuk "Peringatan-peringatan Penting untuk Bakal Jamaah Haji dan Umrah".

Beliau juga sedang giat melebarkan perniagaannya mengedarkan pemanis alternatif kepada gula iaitu stevia.

Pada masa sama, beliau berikrar akan memberikan tumpuan untuk menyumbang secara politik dengan prinsip "berpegang kepada kebenaran" yang dijunjungnya selama ini.   

 

"Kalau dalam tentera udara saya cakap yang benar, dalam politik pun saya akan cakap yang benar.

"Kalau yang tak betul, tak betullah.

"Kalau sekiranya esok dalam Pakatan Rakyat saya nak dipecat sebab bercakap benar, terpulanglah," katanya.

Lihat Komen
ADS