Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan PP digesa lihat semula tukar status tanah
Diterbitkan:  Jan 27, 2015 6:26 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta melihat semula pemberian kelulusan penukaran status tanah pertanian di kawasan luar bandar negeri ini untuk dibangunkan dengan projek perumahan.

Pengerusi Majlis Tindakan Penyelarasan Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata pihaknya menerima banyak rungutan daripada penduduk di kawasan luar bandar berhubung penukaran status tanah pertanian untuk dibangunkan dengan projek perumahan.

"Kita ada kes, kawasan seperti di Balik Pulau, Nibong Tebal dan Kepala Batas... kawasan padi diberi kelulusan di zon semula untuk perumahan.

"Jika ini berterusan, kawasan-kawasan tanaman padi akan terjejas. Kami ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri perlu melihat semula penukaran status tanah itu dengan serius," katanya dalam

sidang media di George Town hari ini.

Beliau berkata pengezonan semula itu turut melibatkan kawasan lereng bukit seperti dusun durian di Balik Pulau, dekat George Town.

Zainal Abidin berkata perkara itu amat mendukacitakan dan boleh menjejaskan pengeluaran hasil pertanian di negeri ini.

"Apa rasionalnya kawasan pertanian di luar bandar dibangunkan sebagai kawasan pembangunan dan perumahan sedangkan banyak lagi kawasan di negeri ini boleh dibangunkan," katanya sambil meminta kerajaan negeri memperincikan jumlah tanah pertanian yang dizonkan semula itu.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Zainal Abidin berkata 293,000 rakyat di Pulau Pinang menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan melibatkan peruntukan RM219 juta.

"Sejumlah 14,900 penerima yang tidak mempunyai akaun bank juga telah menerimanya melalui pemberian baucer," katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah meminggirkan rakyat di negeri pimpinan DAP itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS