Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MKN: Jangan percaya ejen urus wang ehsan
Diterbitkan:  Jan 28, 2015 10:35 AM
Dikemaskini: 6:56 AM

Mangsa banjir di Kelantan dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang mengaku sebagai ejen mengurus pembayaran wang ehsan RM500 kepada mereka.  

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata MKN menguruskan sendiri pengagihan wang ehsan yang diperuntukkan kerajaan itu kepada mangsa banjir berdasarkan maklumat lengkap pendaftaran.

Pihak tidak bertanggungjawab sengaja menimbulkan perkara itu kerana mungkin ada tujuan tertentu, kata beliau.

Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap individu dan pihak yang terlibat, katanya kepada pemberita ketika meninjau khemah-khemah yang disediakan MKN untuk mangsa banjir di penempatan sementara di Bandar Utama.  

Mohamed Thajudeen berkata kerajaan pusat memperuntukkan sejumlah RM500 juta khusus untuk membantu mangsa banjir di negeri yang dilanda banjir bagi mereka memulakan kehidupan baharu selepas bencana itu.

Beliau berkata bagi mengelakkan sebarang penyelewengan, MKN juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Polis Diraja Malaysia.  

Beliau juga menyangkal dakwaan orang ramai bahawa pihaknya menumpukan penempatan sementara mangsa banjir di sekitar kawasan bandar dan mengabaikan mereka di kawasan pedalaman.

Katanya, setakat ini MKN telah memasang 937 khemah termasuk di kawasan bandar dan pedalaman di kawasan terbabit banjir di seluruh Kelantan.

“Daripada jumlah itu sebanyak 800 khemah dipasang di Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata MKN turut memasang 70 khemah di kawasan pedalaman membabitkan perkampungan Orang Asli.

- Bernama

Lihat Komen
ADS