Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan interim siasatan MH370 pada 7 Mac
Diterbitkan:  Jan 28, 2015 12:48 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan laporan interim berhubung hasil siasatan berkaitan Penerbangan MH370 pada 7 Mac

ini, setahun selepas pesawat Malaysia Airlines itu hilang pada 8 Mac tahun lalu.

    

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata butiran dalam laporan itu akan diumumkan menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum dimuat naik ke laman web Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

    

"Kami akan mengeluarkan laporan interim pada 7 Mac dan kami bersedia dengannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bengkel Keselamatan Penerbangan Rantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur hari ini.

    

"Laporan interim itu ada kaitan dengan apa yang telah kami peroleh, dapatan daripada siasatan itu," katanya.

    

Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan dan pencarian pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Usaha mencari pesawat jenis Boeing 777 itu dilakukan di selatan Lautan Hindi, lokasi penerbangan itu dipercayai berakhir selepas tersasar daripada laluan asal ke Beijing.

    

Ditanya sama ada kerajaan akan memuktamadkan status pesawat itu selepas mengeluarkan laporan interim berkenaan, Ab Aziz berkata perkara itu jika ada, akan diumumkan kelak.

    

"Soal pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal juga akan ditentukan selepas status pesawat itu diumumkan," katanya.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS