Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mejar Zaidi Ahmad kembali menerima gajinya untuk bulan Januari pagi ini, sehari selepas berita gajinya 'ditarik balik' Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 22 Januari lalu disiarkan Malaysiakini semalam.

Menurut Zaidi, pada awal pagi ini beliau menerima mesej dari pegawai gaji pangkalan TUDM Butterworth yang memaklumkannya tentang perkara tersebut pagi ini.

Pegawai itu memanjangkan mesej dari Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) Kuala Lumpur yang memaklumkan terdapat 'kesilapan' dalam urusan gaji beliau sebelum ini.

"Sekitar jam 10 pagi tadi saya terima panggilan dari ketua cawangan tadbir pangkalan udara Butterworth  memberitahu yang beliau diarahkan untuk memberitahu saya yang gaji saya sedang dalam proses dimasukkan semula," kata Mejar Zaidi.

Menurut Zaidi, semakan akaun banknya pada jam 12 tengah hari tadi mendapati gajinya sudah dimasukkan semula.

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan saya sehingga masalah saya selesai," katanya lagi.

Zaidi, seorang bekas juruterbang pesawat pejuang TUDM semalam memaklumkan gajinya untuk bulan Januari 'ditarik balik' oleh pihak tentera selepas didepositkan pada hari sama, pada 22 Januari.

Beliau menyedari perkara itu selepas meneliti penyata akaun banknya.

Menurut Zaidi, tindakan itu dibuat walaupun pihak TUDM masih belum mengeluarkan surat rasmi penamatan khidmatnya sebagai seorang tentera.

Zaidi dibuang kerja oleh tentera pada udara 12 Januari lalu selepas diputuskan bersalah memberi kenyataan media tentang dakwat kekal tanpa izin Majlis Angkatan Tentera.

Lihat Komen
ADS