Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Shah Alam, Khalid Samad menyelar tindakan ganas anggota PERKASA semasa demonstrasi membantah projek kondominium Datum Jelatek.

Katanya, tindakan PERKASA dalam demonstrasi pada hujung minggu lalu itu bukan sahaja keterlaluan dan menjatuhkan imej orang Melayu malah bercanggah dengan ajaran Islam.

"Apa yang PERKASA buat sibuk ini? Tindakan (mereka) berdasarkan maklumat yang tak tepat,” kata Khalid dalam sidang medianya hari ini.

Beliau juga mendakwa, demonstrasi yang dilaporkan disertai 1,000 orang itu juga membawa “sentimen perkauman yang sempit dan songsang”.

Jelasnya, NGO itu ingin membawa agenda politik yang mendakwa “kononnya kerajaan Pakatan ini tak mesra bumiputera”.

"Dia (PERKASA) kena ingat, kerajaan Pakatan bukan macam BN. PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) ada panduan yang jelas.

“Kenapa mereka (PERKASA) diam dengan tindakan yang dilakukan di negeri di bawah BN seperti di Johor dalam isu Iskandar Malaysia?

"Saya rasa tindakan PERKASA itu tindakan yang jatuhkan imej Melayu dan orang Islam dan bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.

Beliau turut membacakan sepotong hadis yang mengutuk seruan ke arah perkauman.

Ahad lalu, hampir 1,000 orang termasuk penduduk di Taman Keramat di ibu negara berhimpun mengadakan bantahan bagi mendesak projek pembangunan Datum Jelatek di taman itu dihentikan.

Turut hadir pada himpunan itu ialah Yang Dipertua PERKASA Selangor Abu Bakar Yahya.

Abu Bakar dilaporkan menafikan terlibat bahawa beliau dan anggota pertubuhan itu terlibat dengan insiden ganas dalam demonstrasi tersebut.

Laporan portal The Malaysian Insider menyebut, tindakan kumpulan peserta perhimpunan itu menyebabkan zink penghadang di tapak projek tersebut rosak.

Lihat Komen
ADS