Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nizar didakwa semula memfitnah Najib
Diterbitkan:  Jan 30, 2015 10:34 AM
Dikemaskini: 7:55 AM

Hanya kira-kira dua minggu selepas beliau dilepaskan daripada dakwaan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ke mahkamah lagi hari ini atas perkara yang sama.

 

Nizar menulis dalam tweet malam tadi bahawa beliau telah didakwa semula atas tuduhan itu, dan hadir di mahkamah hari ini, demikian menurut ADUN DAP Canning, Wong Kah Woh.

Wong memberitahu Malaysiakini bahawa Nizar didakwa melakukan fitnah jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

 

Bekas menteri besar Perak itu tidak mengaku bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000.  Kes itu akan disebut pada 6 Mac.

 

Sebelum ini, Nizar telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh pada 13 Januari lalu selepas membenarkan bantahan awal daripada pihak pembelaan. [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu Bernama melaporkan Mohammad Nizar, 59, yang beralamat di Sungai Rokam, didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di Ipoh antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

    

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.

   

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman  penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

    

Bagaimanapun peguam Hatem Musa memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.

    

Hakim Norhayati kemudian membenarkan Mohammad Nizar diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes.

   

Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak pembelaan yang diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhubung isu pengadu dalam kes itu.

    

Hakim Rihaida Rafie memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes itu cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa yang sebenarnya membuat aduan.

Lihat Komen
ADS