Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pemimpin PAS kawasan menyanggah dakwaan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan akan menimbulkan kacau bilau.

Ketua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin berkata isu berkenaan juga menggambarkan sentimen perkauman sempit dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Kalau pilihan raya tempatan boleh timbul kacau-bilau, mengapakah pilihan raya Negeri dan Persekutuan tak ada kacau?” kata Ishak dalam satu sidang media pagi ini.

Katanya, beliau melihat bahawa sentimen yang cuba dibangkitkan oleh ulama besar PAS itu juga tidak lagi dapat dikesan pada masa ini.

“Mana mungkin pilihan raya tempatan boleh menimbulkan soal perkauman?

“Kalau kita pergi ke kampung-kampung dan kawasan orang ramai, saya rasa tak ada lagi rasa perkauman sempit itu,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ishak merupakan pengerusi gabungan NGO BERTINDAK, yang berkempen untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur.

Pendirian gabungan NGO itu, yang dilancarkan hari ini, amat bertentangan dengan kenyataan pucuk pimpinan PAS.

Ishak seterusnya berkata, beliau melihat masyarakat pelbagai kaum akan bekerjasama semasa pilihan raya.

“Saya tengok bila ada kempen pilihan raya, semua orang datang menbantu, termasuklah orang India, Melayu dan Cina duduk bersama-sama.

“Dan rakyat pula memilih orang yang dia rasa boleh kerja untuknya dan bukannya memilih ikut kaum Melayu, Cina atau India,” tegas bekas guru itu.

Dalam kenyataannya Jumaat lalu, Abdul Hadi antara lain menyuarakan kerisauannya berhubung pilihan raya tempatan itu boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina.

Ulama besar PAS itu turut membayangkan yang pilihan raya tempatan akan memberikan kemenangan buat satu kaum dalam masyarakat berbilang kaum.

Kenyataannya itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk DAP dan NGO.

Lihat Komen
ADS