Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemohonan maaf harian tiga bulan kepada kepimpinan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam media sosial "tidak logik dan tidak masuk akal", kata Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Abdul Razak Md Hassan.

"Dia suruh saya minta maaf dekat Facebook dan blog tiga bulan setiap hari. Mula-mula setahun selepas itu diskaun enam bulan, selepas itu diskaun tiga bulan. (Tindakan ini) tidak logik dan tak masuk akal.

"Mana ada undang-undang kita kata tiga bulan minta maaf. Mana undang-undang dia pakai? Dalam negara kita pun paling lama minta maaf cuma tiga hari, kalau kena saman (harus mohon maaf) tiga hari,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, Abduk Razak ( atas ) berkata beliau diarahkan memohon maaf selama setahun pada September lalu namun tempoh itu dikurangkan kepada enam bulan dan seterusnya tiga bulan pada November lalu.

Beliau diminta berbuat demikian ekoran tindakannya dan sekumpulan pekerja KTMB mengadakan piket pada Mei tahun lalu, mendesak Elias melepaskan jawatannya kerana didakwa kurang cemerlang.

Ditanya sama ada 96 pekerja yang dibuang kerja juga perlu meminta maaf, Abdul Razak berkata mereka tidak perlu berbuat demikian tetapi dilarang melakukan perkara yang melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Abdul Razak berkata semua pekerja tersebut kini sudah kembali bekerja semula.

'Langgar perjanjian'

"Sekiranya mereka melakukan (berpiket atau langgar penjanjian yang telah dibuat) mereka akan dibuang kerja," katanya sambil menyifatkan perjanjian itu sebagai "ugutan".

Mengulas lanjut, Abdul Razak turut mempertikaikan hukuman terhadap pekerja yang didakwanya sesuka hati dan membelakangkan peruntukan undang-undang.

Abdul Razak mengakui berdepan kesukaran kerana sudah lima bulan tidak bekerja dan terpaksa mencari bekerja lain untuk menampung kehidupannya sekeluarga.

"Sekarang ni dah paras hidung dah lima bulan. Tapi tak ada pilihan lain, demi kesatuan saya kena survive juga untuk hidup.

"Ini perjuangan, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai," katanya sambil menambah kesatuan tak lumpuh dan masih jalankan aktiviti seperti biasa.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi KTMB berhubung perkara itu.

Lihat Komen
ADS