Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa pihak yang mengetahui motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu agar tampil dengan berani bagi menjelaskan kes tersebut.

Katanya, ia bagi memastikan kredibiliti institusi kehakiman dan polis terus dihormati.

Jelasnya, motif berkenaan perlu dijelaskan bagi mengelakkan individu yang tidak berkaitan dihukum atas kes pembunuhan tersebut.

"Sebab itu kita persoalkan apa motif (pembunuhan) sebab yang ada hubungan dengan Altantuya ialah (penganalisis politik Abdul) Razak Baginda," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada kenyataan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan semalam yang berkata, suspek utama kes tersebut sudah dibebaskan.

Maka, motif dua bekas anggota komando polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan tersebut perlu ditentukan, kata Mahfuz.

“Jadi apa hubungan Sirul dan Azilah?" katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Musa dalam kenyataannya semalam merujuk kepada Abdul Razak Baginda (kiri) .

Beliau juga membayangkan bahawa Azilah dan Sirul bertindak atas arahan, namun beliau enggan mengulas mengenai perkara ini.

Selanjutnya, Mahfuz berkata beliau juga akan mengaturkan perjumpaan dengan pejabat pesuruhjaya tinggi Australia di Malaysia.

Katanya, tujuan perjumpaan itu dibuat bagi mengetahui status sebenar mengenai Sirul Azhar Umar yang kini ditahan di Sydney.

"Saya sendiri pada minggu depan akan hubungi kedutaan Australia untuk tahu kedudukan penahanan Sirul di Sydney kerana ada maklumat dan penjelasan yang saya mahu," katanya.

"Saya harapkan kerajaan akan (membiarkan Sirul terus hidup). Saya percaya Sirul hanya menjalankan arahan.

"Beri dia kehidupan sama ada di Malaysia atau di luar negara," katanya lagi.

Mahfuz sebelum ini pernah mengunjungi keluarga Sirul di Ipoh, Perak.

Sirul dan Azilah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan atas pembunuhan wanita Mongolia itu.

Lihat Komen
ADS