Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengulas sukan terkenal tanah air Datuk Hasbullah Awang meninggal dunia hari ini akibat sakit jantung.

Hasbullah, 63, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.17 tengahari di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat cahaya mata.

Seorang anak saudara Allahyarham ketika ditemui di IJN berkata, bapa saudarannya itu merupakan seorang penyanyang dan periang.

"Suara beliau mengulas sukan akan sentiasa dirindu dan kehilangannya amat dirasai seisi keluarga," katanya.

Jenazahnya akan dikebumikan di Seksyen 32, Jalan Kebun, Shah Alam.

Antara yang hadir untuk menziarah termasuk rakan Allahyarham, Datuk Rahim Razali, Naib Presiden Persatuan Hoki Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad dan sebilangan para atlet negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas perkembangan itu berkata, Allahyarham akan diingati oleh pelbagai peringkat umur di negara ini.

Sedih mendapat berita pemergian 'the voice of Malaysian sports' Datuk Hasbullah Awang sebentar tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) February 12, 2015

Sementara itu Bernama melaporkan kerjaya terakhir Allahyarham ialah sebagai pengulas sukan dengan saluran televisyen Astro Arena bermula Januari 2014 dan sebelum itu beliau berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    

Dalam dunia penyiaran, Allahyarham Hasbullah memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1 dan menjadi pembantu mengendalikan program radio untuk kanak-kanak dengan Tengku Mariam Tengku Laksamana Nasir, 'Bersama Kak Yong'.

 

Dalam laporan yang lain, agensi berita itu melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap Hasbullah sebagai legenda pengulas sukan yang sukar diganti.

    

Menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar kepada negara, beliau berkata Hasbullah, yang merupakan pengulas pelbagai acara sukan tempatan dan luar negara, merupakan sebahagian legenda sukan negara kerana telah melonjakkan mutu sukan negara.

    

“Satu daripada perkara memajukan sukan dalam negara ialah aspek penyiaran yang memerlukan seorang pengulas sukan yang baik.

    

“Bintang dalam pengulas sukan sukar dicari. Ia datang secara semula jadi dan sekali sekala sahaja. Sukar kita mencari orang yang sehebat Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran AirTimeShare versi 2.0 di Putrajaya hari ini.

    

Ahmad Shabery juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan akan menziarahi keluarganya.

Lihat Komen
ADS