'Terus teranglah Umno Kelantan takut'

Ibrahim Ali        

Jika Umno masih lagi sebuah parti politik, maka Umno mesti bertanding di pilihan raya kecil (PRK) DUN Cempaka, kecualilah Umno Kelantan sudah jadi NGO.

Sebagai parti politik, berilah seribu alasan sekali pun,prinsipnya mesti bertanding.

Alasan memberi tumpuan kepada banjir adalah kelakar sebab kerana banjir besar baru-baru inilah lagi kuat alasan Umno kena bertanding.

Kena pada masanya untuk menyedarkan pengundi, bila datang banjir besar atau mushibah, siapa dan parti mana yang mampu membela dan berkhidmat pada rakyat.

Bukankah berkhidmat itu perkara utama dalam perjuangan politik. Maka PRK di DUN Cempaka, Umno boleh bukti siapa mampu berkhidmat pada rakyat.

Jangan bersifat hipokrit. Baik cakap terus terang, Umno Kelantan tidak bertanding kerana takut kalah.

Budak pun boleh faham. Program bantuan banjir boleh diteruskan di tempat banjir terlibat dan PRK terus bertanding, baru dikata parti Umno hebat sepanjang zaman.

Pengaruh peribadi Nik Aziz

Kalah menang perkara biasa. Arwah TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) menang DUN Cempaka bukan kerana PAS kuat semata-mata.

Ia kerana pengaruh peribadi arwah TGNA. Sekarang TGNA sudah tiada. Maka Umno mesti uji PRK DUN Cempaka.

Masalah banjir Umno selesaikan. PAS pun beria mahu kerjasama dengan Umno atas nama banjir, sebab PAS tak mampu maka serah pada Umno dan kerajaan pusat.

Kerjasama untuk perpaduan Melayu atau ummah dengan Umno, dengan angkuh PAS tolak.

Jika nak jumpa dan sekadar bincang pun, muka orang Umno akan diludah.

Maka banjir Umno urus dan kerusi dalam dewan beri pada PAS secara percuma. Baiknya Tok Pa (Datuk Seri Mustapha Mohamed).

Apa kata Tok Pa dan Umno Kelantan dibubar dan semua masuk PAS atau jadi NGO kerana perlu tumpu pada banjir sebab Kelantan ada banjir setiap tahun.

Umno jadi badan politik kebajikan dan PAS benar-benar parti politik. Ini pandangan ikhlas saya.


DATUK IBRAHIM ALI presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In