Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Landskap Negara (JLN) akan menyediakan lima lagi taman awam baharu di beberapa buah negeri dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara taman terindah menjelang tahun 2020.

Pengarah Promosi dan Pembangunan Industri JLN Mansor Mohamad berkata taman baharu yang dijangka siap pada 2016 itu ialah di Kota Belud, Sabah; Tanjung Agas, Muar; Tasik Tenggara, Johor; Bandar Proton, Tanjung Malim, Perak dan Sungai Petani, Kedah.

"Bagi sebuah taman awam baharu yang berkeluasan dari enam hingga lapan hektar, kos pembangunannya adalah antara RM5 hingga RM6 juta dan mungkin hingga ke RM10 juta bergantung kepada apa komponen yang ada dalam sesebuah taman itu," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan bagi program 'Dalam Radar' Bernama Radio24, di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu beliau berkata JLN akan menganjurkan Sambutan Hari Landskap Negara peringkat kebangsaan 2015 bertemakan 'Taman Awam Wadah Gaya Hidup Sihat' di Zon Rekreasi Keluarga (Lembah Kiara), Taman Persekutuan Bukit Kiara, di Kuala Lumpur selama lima hari bermula 3 Mac ini.

Mansor berkata program itu dijangka dirasmikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan itu bertujuan mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat untuk menghargai dan mencintai landskap negara.

Beliau berkata pihaknya memfokuskan kepada hasrat menggalakkan masyarakat menggunakan taman-taman awam sebagai ruang rekreasi awam bagi memenuhi keperluan gaya hidup sihat dan integrasi sosial di kawasan bandar.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk memeriahkan sambutan yang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti bengkel arboretum, senamrobik, tai chi dan persembahan pemuzik jalanan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS