Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adik PM prihatin isu harta pusaka Tun Razak
Diterbitkan:  Feb 24, 2015 10:38 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Empat orang adik perdana menteri hari ini menimbulkan kebimbangan ke atas laporan media berhubung harta pusaka bapa mereka, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Spekulasi itu timbul selepas Pejabat Perdana Menteri memberitahu akhbar New York Times bahawa gaya hidup abang mereka, Najib tidak menghairankan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)".

"Kami sangat bimbang kerana beberapa laporan berita terkini dan tulisan (di Internet) menimbulkan spekulasi berhubung bentuk dan tahap warisan yang ditinggalkan arwah bapa kami, Abdul Razak.

"Kami ingin menyatakan bahawa Abdul Razak merupakan orang yang sangat berprinsip dan hal ini diketahui semua yang mengenali sikap berhemah dan integritinya.

"Apa jua kenyataan atau kaitan yang bertentangan dengan itu sama sekali tidak benar dan mengelabui ingatan padanya dan khidmat serta pengorbanannya pada negara," kenyataan ringkas empat beradik itu petik.

Akhbar berpengaruh itu memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri sewaktu menjelaskan sumber kekayaan tokoh berkenaan.

Akhbar itu juga menyebut, beberapa keping gambar isteri perdana menteri Rosmah Mansor dengan pelbagai jenis beg tangan mahal tersebar meluas di media sosial.

Laporan itu juga mendakwa memperolehi salinan invois bernilai berjuta-juta dolar pesanan barangan kemas Rosmah di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

The New York Times menyiarkan kenyataan PMO itu dalam laporannya berkaitan ahli perniagaan Jho Low (kiri) yang ada hubungan dengan ahli keluarga Najib dan gaya hidup mewah mereka.

Jho Low dilaporkan membantu anak tiri Najib, Riza Aziz untuk membeli kondominium mewah di New York dan membiayai penerbitan filem Hollywood yang dilakukan Riza.

Menariknya, akhbar tersebut turut menyiarkan berita yang sama di dalam bahasa Melayu .

Lihat Komen
ADS