Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR cuba sekat suntikan RM3 bilion pada 1MDB
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 3:57 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

PKR merancang menyekat suntikan dana baru RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga pengendalinya bertanggungjawab atas masalah hutang syarikat pelaburan nasional itu.

Naib presidennya Rafizi Ramli bercadang mengusulkan langkah sedemikian dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan untuk memaksa semua yang terlibat meletakkan jawatan.  

"Pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan dan keputusan 1MDB wajarlah meletakkan jawatan sebelum kerajaan bersetuju untuk menyuntik RM3 bilion tambahan," kata ahli parlimen Pandan hari ini.

 

"Saya akan memfailkan usul dalam sidang Parlimen akan datang supaya tidak ada sebarang suntikan dana baru ke dalam 1MDB sehinggalah ada pertanggungjawaban atas kegagalan 1MDB."

Dalam kenyataannya, Rafizi menggesa Datuk Seri Najib Abdul Razak mengosongkan jawatan menteri kewangan. 1MDB dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

 

Rafizi turut mendesak semua ahli lembaga pengarah 1MDB berbuat demikian.

 

Beliau juga mencadangkan agar pengarah 1MDB, yang meletakkan jawatan, tidak dilantik semula di lembaga pengarah anak syarikat atau agensi milik kerajaan.

Setiausaha agung PKR juga beberapa kali membuat siri pendedahan berhubung beban hutang yang didakwa ditanggung oleh firma pelaburan itu.

"Saya telah mendedahkan pada 2 Februari bahawa 1MDB juga mempunyai satu lagi hutang jangka pendek sebanyak RM3.6 bilion kepada enam bank yang diketuai oleh Deutsche Bank.

"Hutang tersebut perlu dibayar menjelang September 2015.

"Ketika 1MDB mengambil hutang ini di tengah-tengah kontroversinya meletup tahun lalu, ia menyandarkan hutang RM3.6 bilion ini kepada dana baru yang bakal diperolehi dari pasaran saham melalui penyenaraian anak syarikat pengeluar tenaga bebasnya," katanya.

Bagaimanapun ekoran pembatalan penyenaraian itu, beliau beranggapan syarikat itu bakal berdepan masalah untuk melangsaikan hutang tersebut.

Lihat Komen
ADS