Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PEMANDU: Pertumbuhan positif M’sia berterusan
Diterbitkan:  Feb 27, 2015 9:00 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Pengukuhan asas-asas sejak lima tahun lepas meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan pada 2015, meskipun persekitaran ekonomi luaran tidak stabil, kata Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Ketua Pengawai Eksekutif PEMANDU Datuk Seri Idris Jala berkata pertumbuhan ekonomi pada 2014 dipacu oleh industri utama, termasuk perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan perlombongan.

"Dengan pelaburan menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi, pelaburan swasta pada 2014 mencatat RM181.5 bilion. Ini menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 11 peratus (pada harga tetap 2005)," katanya ketika Rumusan Ekonomi 2014 di ibunegara semalam.

Menteri ekonomi, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut hadir di majlis itu.

Idris berkata eksport Malaysia berkembang 5.1 peratus kepada RM741.bilion (pada harga tetap 2005) pada 2014 kebanyakannya dikaitkan dengan permintaan tinggi untuk pembuatan produk elektrik dan elektronik serta permintaan kukuh bagi komoditi.

Dalam ucapannya, beliau berkata pendekatan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam menggerakkan 12 sektor ekonomi utama dan menginstitusikan pembaharuan beberapa polisi telah membawa kepada ekonomi yang lebih kukuh dan pelbagai.

"Ini telah mengurangkan risiko untuk menjadi terlalu bergantung kepada pendapatan minyak dan gas.

"Kita mengalami perubahan ketara daripada pergantungan terhadap pendapatan minyak dengan pengurangan daripada 35.4 peratus pendapatan keseluruhan kerajaan pada 2010 kepada 29.7 peratus, seperti yang dianggarkan oleh EPU pada 2014," katanya.

Semasa menyampaikan ucaptama, menteri-menteri ekonomi memberi jaminan Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk menghadapi ketidaktentuan disebabkan beberapa faktor.

Mereka berkata struktur ekonomi pelbagai yang disokong dengan inflasi yang rendah, persekitaran guna tenaga yang memberangsangkan, hutang luaran yang rendah, rizab antarabangsa yang lebih daripada mencukupi, akan meletakkan Negara pada kedudukan yang baik untuk mengharungi senario semasa.

"Sistem perbankan Malaysia yang kukuh, mempunyai modal yang cukup dan pasaran kewangan yang berkembang menjadi sokongan tambahan dalam mengukuhkan asas ekonomi negara.

"Lebihan dalam akaun semasa yang berterusan membantu untuk mengukuhkan ekonomi dan menampan kejutan luaran," katanya mereka.

Bagi 2014, akaun semasa Malaysia merekodkan imbangan lebih tinggi pada RM49.5 bilion atau 4.8 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) berbanding dengan RM39.9 bilion atau 4.2 peratus PNK pada 2013.

Mereka berkata di tengah-tengah cabaran ekonomi global semasa, kerajaan akan terus memperkenalkan beberapa langkah untuk meningkatkan daya saing Malaysia bagi menghadapi cabaran domestik dan luaran.

"Usaha bersepadu akan dijalankan untuk memudah dan merealisasikan pelaksanaan pelaburan kualiti yang diluluskan," katanya mereka.

Sementara itu, Mustapa menjangkakan 2015 akan menjadi tahun yang mencabar, dengan penurunan pendapatan dan kelulusan pelaburan yang lebih perlahan.

"Marilah kita bekerja bersama-sama untuk ETP berjaya seperti yang kita alami pada empat hingga lima tahun lepas," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS