Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Tun Razak utamakan rakyat, bersederhana
Diterbitkan:  Mar 2, 2015 11:59 AM
Dikemaskini: 5:30 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sepanjang ayahandanya berkhidmat dalam kerajaan, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Najib berkata arwah bapanya itu juga sentiasa konsisten meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya dalam membuat keputusan sepanjang memimpin negara, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Laporan itu juga menyebut, Allahyarham Tun Razak juga seorang tokoh dan negarawan yang amat berprinsip, tinggi nilai integriti serta penuh dengan sifat kesederhanaan.

"Sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan, Tun Abdul Razak tidak pernah terlibat dengan apa-apa amalan rasuah dan salah guna kuasa. Beliau sentiasa meletakkan kepentingan negara jauh mengatasi kepentingan peribadi hingga jasanya kepada negara menjadi memori umum bagi rakyat.

"Sejak mula terlibat dalam perjuangan politik sehinggalah memegang tampuk pemerintahan negara, Tun Abdul Razak diketahui mengamalkan gaya hidup sederhana dan berjimat cermat,” katanya seperti dilapor akhbar itu.

Najib berkata demikian sebagai menyokong kenyataan empat adik beliau pada minggu lalu yang melahirkan kebimbangan ke atas laporan media di New York berhubung harta pusaka bapa mereka.

Spekulasi itu timbul selepas Pejabat Perdana Menteri memberitahu akhbar New York Times bahawa gaya hidup abang mereka, Najib tidak menghairankan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)."

Lihat Komen
ADS