Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib presiden Umno menjelaskan bahawa perjumpaan pemimpin-pemimpin bahagian dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Ahad ini hanya himpunan biasa.

Ia bukan satu acara menyatakan sokongan kepada presiden Umno seperti dispekulasikan, kata Datuk Seri Shafie Apdal.

"Umno sentiasa ada perjumpaan seperti ini. Ia sesuatu yang normal, kita lakukan untuk bertemu pemimpin peringkat bahagian," katanya di Kuala Lumpur.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata himpunan itu diadakan untuk memberi penerangan tentang isu semasa kepada pemimpin peringkat akar umbi.

"Ini adalah platform terbaik untuk menerangkan isu-isu semasa.

"Ketua-ketua bahagian perlu mendapat penjelasan supaya tiada sebarang kekeliruan terhadap isu yang dibangkitkan secara luaran dan dalaman," katanya.

Menurutnya, ia akan membantu membetulkan 'persepsi' bukan sahaja di kalangan pemimpin tetapi juga di kalangan akar umbi.

Pertemuan itu sebelum ini digembar-gemburkan sebagai satu perjumpaan untuk menyatakan taat setia kepada Najib selaku presiden parti di samping mendapatkan penjelasan darinya berhubung isu antaranya, dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Shafie bagaimana pun mengelak daripada menjawab soalan tentang berita jemaah menteri menolak cadangan agar pinjaman berjumlah RM3 bilion diluluskan buat 1MDB.

"Mana awak dengar ini?

"Saya tak perlu jawab soalan itu kerana ia adalah perkara yang biasanya dibincang secara terperinci dalam mesyuarat kabinet," katanya kepada wartawan.

 

Lihat Komen
ADS