Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS S'gor: Serang Dr Dzul satu provokasi
Diterbitkan:  Mar 5, 2015 1:53 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

PAS Selangor mengutuk serangan yang mencederakan ahli jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad awal pagi tadi.

Pesuruhjayanya Iskandar Samad turut mengarahkan kawalan keselamatan terhadap kepimpinan PAS negeri itu dipertingkatkan bagi menghalang sebarang provokasi berulang.

"Dewan Pemuda PAS negeri Selangor akan melaksanakan tugas tersebut.

"Dalam apa sahaja keadaan sekalipun, tindakan ganas seperti ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku," katanya.

Dalam kenyataannya, Iskandar yang juga exco Selangor berharap polis mempercepatkan siasatan supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dikenalpasti dan diheret ke mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi tadi, Dr Dzulkefly yang pulang selepas menunaikan solat subuh, diserang oleh dua lelaki bermotosikal yang tidak dikenali di depan rumahnya di Seksyen 7 Shah Alam.

Menurut isterinya Azlin Hezri, salah seorang lelaki itu menumbuk di bahagian kanan muka Dzulkefly, tetapi beliau 'menyambutnnya' dengan laungan takbir dan membalas kembali tumbukan itu.

Daripada pergelutan yang berlaku, ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan PAS itu cedera di dahi dan bengkak di bibir.

Sementara itu, Setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman pula menegaskan pihaknya memandang serius dan tidak bertolak ansur dengan sebarang kejadian jenayah.

Mendoakan supaya bekas MP Kuala Selangor itu segera sembuh, Mohd Khairuddin mahu dalang serangan itu ditahan dan diheret ke muka pengadilan.

"Kita tahu ia adalah tindakan provokasi orang tertentu dengan motif tertentu dan kita yakin ia tidak melibatkan ahli kita di Selangor," katanya.

Selain pemantauan keselamatan oleh anggotanya terhadap kepimpinan PAS negeri, Khairuddin turut menggesa ahli PAS memberi maklumat kepada polis jika provokasi dan ancaman seperti itu berulang.

Lihat Komen
ADS