Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA label PAS 'lucu, dungu dan jumud'
Diterbitkan:  Mar 5, 2015 4:00 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Perkasa mengecam keras tindakan pemimpin PAS yang melarang anggota-anggota parti itu menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Presidennya Datuk Ibrahim Ali menyifatkan sikap Majlis Syura PAS itu sebagai "tidak demokratik, bodoh, lucu, dungu dan jumud."

Beliau mengulas kenyataan setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, yang menggesa PasMa dibubarkan sebelum anggota-anggotanya dibenar bersama parti Islam.

Nik Zawawi (kiri) berkata demikian sebagai menjawab hasrat PasMa mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS bagi membincangkan kemelut dalaman Pakatan Rakyat.

PasMa digerakkan oleh anggota-anggota PAS dan muncul tahun lalu sewaktu memuncak krisis Selangor.

Waktu itu sebilangan pemimpin atasan PAS mengambil sikap berbeza daripada keputusan PKR dan DAP.

Dalam kenyataannya, Ibrahim berkata PasMa bukan sebuah parti politik dan PAS tidak berhak mengambil tindakan kepada ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

"Kalau PasMa menjadi parti politik, maka PAS wajib bertindak memecat (mereka) yang masuk PasMa kerana setiap individu tidak boleh menjadi ahli kepada dua parti politik.

"Tapi PasMa belum jadi parti politik, ahli PAS mahu menjadi ahli PasMa, itu hak individu berkenaan," katanya.

Beliau juga menggesa PAS bersikap budiman dan demokratik dalam menghadapi PasMa yang lantang mengkritik pucuk pimpinan yang tidak pro-Pakatan Rakyat.

"Pemimpin PAS tidak patut jadi pengecut, autokratik atau bersifat diktator. Lawan cara politik, ada sifat istiqamah dan gentleman," katanya.

Lihat Komen
ADS