Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rekod keterangan MP DAP
Diterbitkan:  Mar 7, 2015 7:31 AM
Dikemaskini: Mar 7, 2015 6:18 AM

Polis merekod keterangan Ahli Parlimen Tanjong dari DAP, Ng Wei Aik berhubung kenyataannya dalam sebuah akhbar berbahasa Cina yang didakwa berunsur hasutan.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(6) Akta Hasutan 1948.
 
"Kami rekod keterangan beliau untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.
 
Terdahulu, Ng dilihat memberi keterangan selama hampir dua jam bermula pukul 4.05 petang kepada pegawai penyiasat ditemani peguam Ramkarpal Singh Deo di pusat khidmatnya di Jalan Anson di sini.
 
Pada 16 Februri lepas, Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri Ang Chor Keong membuat laporan polis berhubung artikel Ng yang disiar dalam akhbar Kwong Wah Yit Poh
mengenai keputusan kes Liwat II terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menghukum Anwar lima tahun
penjara.
 
Mengulas mengenai artikel bertajuk 'Kebangkitan Reformasi' itu, Ng pada sidang media selepas memberi keterangan kepada polis, berkata ia adalah pendapat peribadinya dan mempunyai keyakinan kepada demokrasi berparlimen dan percaya perubahan boleh dibuat menerusi peti undi. 
 
"Saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dan turut ditanya adakah saya terlibat dalam gerakan reformasi ketika menjadi pelajar di Universiti Malaya pada 1998. Saya bukan terlibat secara langsung tetapi menyaksikannya," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan berasingan, berkata kerajaan negeri akan membela nasib Ng kerana itu merupakan satu penganiayaan politik terhadap seorang wakil rakyat.
 
"Kerajaan negeri akan membela Ng dan sekiranya perlu kami akan sediakan bantuan guaman," katanya.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS