Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Melbourne merupakan ibu negeri dan bandar raya terbesar di Victoria, Australia. Pada penghujung bulan Januari yang lalu, penulis berkesempatan untuk bercuti ke bandar raya kedua terbesar selepas Sydney itu.

Pernah mendapat jolokan "bandar raya paling sesuai didiami di dunia" oleh The Economist , Melbourne sememangnya merupakan sebuah bandar yang tenang dan teratur kerana iklim, sosiobudaya serta masyarakatnya sendiri yang tidak lokek senyuman dan peramah.

Kunjungan selama seminggu penulis bersama keluarga ke Melbourne sebenarnya tidak cukup. Tetapi penulis tetap merasai keseronokannya apabila berpeluang untuk mengunjungi beberapa lokasi terkenal di bandar raya yang pernah menjadi ibu kota Australia antara tahun 1901 dan 1927 itu.

Dengan menaiki penerbangan tambang murah, AirAsia, penulis mengharungi kira-kira tujuh jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melbourne. Selepas tiba di lapangan terbang Melbourne di Tullamarine, penulis kemudian di jemput oleh kenalan keluarga dan terus menuju rumah yang menjadi lokasi penginapan selama lima hari empat malam.

Penulis bersama keluarga berkesempatan untuk mengelilingi bandar raya Melbourne dengan menaiki trem- kenderaan yang menjadi pengangkutan utama di kalangan rakyatnya.

Yang penting, sebelum ingin menaiki mana-mana pengangkutan awam di Melbourne, kad Myki - sebuah kad seperti Touch n Go di Malaysia - perlu dibeli terlebih dahulu. Ia merupakan kad wajib yang digunakan di sana untuk menaiki pengangkutan awam tidak kira bas, trem ataupun kereta api.

Bagi pelancong yang pertama kali ke Melbourne, terdapat perkhidmatan trem percuma yang dikenali sebagai City Circle Tram yang disediakan untuk pelancong. Struktur yang kelihatan seperti trem lama itu akan membawa penumpang mengelilingi bandar raya Melbourne dengan melalui tempat-tempat menarik seperti City Museum, parlimen, Docklands dan Federation Square.

Selain trem, basikal juga menjadi antara pengangkutan yang sering diguna di sana. Antara yang menarik perhatian penulis ialah, pusat sehenti bagi menyewa basikal turut disediakan di beberapa kawasan. Pusat sehenti tanpa penjaga itu memberi peluang kepada sesiapa sahaja menyewa basikal untuk bersiar-siar mengelilingi bandar raya yang bersih itu.

Pelancong juga boleh menaiki kereta api Metro di stesen Flinders Street. Stesen Flinders Street merupakan stesen yang tertua di Melbourne. Stesen yang dibina pada tahun 1854 masih lagi mempunyai struktur yang kukuh dan cantik. Malah, ia juga menjadi pusat utama bagi kereta api untuk ke pelbagai daerah.

Pengangkutan awam efis i en

Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar di hadapan stesen tersebut dan turut menaiki kereta pi Metro yang dilihat seakan-akan Komuter di negara kita. Bagaimanapun, sistem mereka sungguh efisien dan tiba tepat pada masanya.

Pengangkutan seperti kereta api boleh digunakan untuk menuju ke kawasan di luar bandar raya Melbourne.

Penulis berpeluang menaiki kereta api Metro dari stesen Flinders Street untuk ke Brighton Beach. Brighton beach merupakan sebuah pantai yang popular kerana mempunyai rumah kecil seperti kotak yang berwarna-warni di sepanjang pantainya. Ia sebenarnya sebuah stor yang dicat cantik dengan pelbagai warna dan corak.

Rumah kotak berwarna-warni itu merupakan antara tarikan pelancong dari serata dunia untuk ke sana selain daripada air lautnya yang jernih.

Perjalanan dari stesen Flinders Street untuk Brighton Beach mengambil masa kira-kira 25 minit.

Selain itu, pelancong juga boleh menyewa kereta untuk berkunjung ke Pulau Philip yang terletak di bahagian Tenggara Victoria. Perjalanan dari bandar raya Melbourne untuk ke sana mengambil masa selama kira-kira dua jam.

Disebabkan penulis bertolak untuk ke Pulau Philip lewat, penulis hanya sempat berkunjung ke Wildlife Park dan bersiar-siar di pantai San Remo.

Untuk masuk ke Wildlife Park, pengunjung dikenakan bayaran AUD17 (RM48). Bayaran itu sangat berbaloi apabila setiap pengunjung diberi sebungkus makanan binatang dan dapat melihat secara dekat kangaru dan beberapa haiwan lain di sana.

Antara haiwan yang ada ialah beruang koala, wombat, landak dan sebagainya. Namun, sudah tentu penulis lebih teruja untuk bermesra dengan kangaru memandangkan haiwan itu tidak dapat ditemui di Malaysia.

Pemuzik jalanan dengan piano

Malah, dengan keluasan Wildlife Park kira-kira 60 ekar, pengunjung juga dapat memegang serta memberi makanan kepada kangaru dengan tangan sendiri. Ia pastinya sesuatu yang sangat mengujakan dan pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Tidak lengkap juga berkunjung ke Melbourne sekiranya tidak ke pasar paling lama di bandar raya itu iaitu Victoria Market atau pasar Victoria. Selain menjadi pasar yang paling lama, ia juga menjual pelbagai barangan termasuk barangan cenderahati dengan harga yang murah berbanding di tempat lain.

Antara barangan yang boleh diperoleh di sana ialah, beg, baju, topi. Malah, di pasar Victoria ini juga menjadi lokasi bagi penduduk setempat membeli keperluan harian seperti sayur-sayuran dan barangan basah.

Jika anda seorang penggemar muzik, Bourke Street merupakan tempat yang mesti anda kunjungi. Ini kerana, di sepanjang jalan, ia dipenuhi pemuzik jalanan.

Pelbagai persembahan dapat anda lihat, daripada pemain piano, penyanyi secara solo mahupun berkumpulan. Rata-rata daripada mereka kelihatan sungguh profesional apabila mereka membuat persembahan dengan kelengkapan sistem bunyi yang lengkap serta alunan suara yang sedap didengar.

Setiap daripada mereka juga menjual CD lagu-lagu yang dinyanyikan. Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk membeli CD mereka.

Selain pemuzik jalanan, di Bourke Street juga merupakan tempat yang sesuai bagi mereka yang gemar membeli-belah. Dengan struktur bangunan yang bercampur antara yang lama dan baru serta disusun rapat di tengah-tengah kota, ia menempatkan pelbagai pusat membeli-belah antaranya David Jones, Myer, HnM dan Target. Malah, China Town juga berada berdekatan di kawasan itu.

Apa yang boleh penulis katakan di sini, kunjungan ke Melbourne merupakan satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Penulis juga bercadang untuk berkunjung lagi ke Australia dan meneroka lagi kawasan menarik yang ada di negara itu.

Benarlah kata peribahasa, jauh perjalanan luas pemandangan. Semakin kita banyak berjalan ke negara orang, bukan sahaja dapat melihat indahnya ciptaan Tuhan tetapi kita juga dapat melihat dan belajar budaya yang ada di negara tersebut.

 

Lihat Komen
ADS