Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pengurus kedai buku Nik Raina Nik Abdul Aziz dalam kes penjualan buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta karya Irshad Manji.

Ketua pasukan pendakwaan jabatan itu memfailkan rayuan mereka pada 9 Mac lalu.

Susulan tindakan itu, kes tiga tahun terhadap pekerja Borders itu akan memasuki pusingan seterusnya di Mahkamah Rayuan Syariah, mahkamah tertinggi Islam di Kuala Lumpur.

Yau Su Peng, ketua pegawai operasi Berjaya Books Sdn Bhd yang memiliki kedai buku Borders ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan rayuan JAWI itu.

Yau berkata pihaknya menerima notis pada Jumaat, walaupun menurut prosedur biasa ia patut dihantar kepada peguam Nik Raina, Rosli Dahlan.

'Dia (Nik Raina) difahamkan sedih berhubung perkembangan ini,” katanya.

Nik Raina pada 26 Februari  lalu dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengedar penerbitan bercanggah dengan Islam.

Keputusan itu mengambil kira faktor kebajikan Nik Raina dan status rayuan pendakwa syariah kepada Mahkamah Rayuan yang hanya berada pada peringkat memohon kebenaran merayu.

Mahkamah hari itu diberitahu bahawa JAWI pada 28 Januari lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati serbuannya ke atas Borders pada 2012 tidak mengikut undang-undang.

Rayuan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati serbuan JAWI dibuat sebelum pengharaman buku Manji.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS