Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah ditangkap bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Mar 16, 2015 3:46 PM
Dikemaskini: 4:59 PM

Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan bermalam di lokap balai polis Jinjang selepas ditangkap di bawah Akta Hasutan hari ini.
 
Permohonan reman terhadapnya Nurul akan didengar pagi esok, kata Pengarah Komunikasi PKR,  Fahmi Fadzil.

Nurul Izzah ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.

Nurul Izzah pada asalnya hadir ke balai berkenaan untuk siasatan berhubung perhimpunan Kita Lawan.

 

A photo posted by @n_izzah on

Dalam satu kenyataan Lewat malam ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nurul Izzah ditahan di bawah Akta Hasutan untuk membantu polis dalam siasatan perhimpunan Kita Lawan dan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat minggu lepas yang turut menyentuh tentang sistem kehakiman negara.
 
Nurul Izzah akan dibebaskan sebaik sahaja kenyataan beliau direkodkan, kata Khalid, tetapi tidak beliau menyatakan bila.
 
Peguamnya, R Sivarasa ketika keluar dari balai memberitahu pemberita bahawa Nurul Izzah ditahan mengikut Akta Hasutan atas ucapannya di Parlimen hari Selasa lalu.

"Mereka (polis) masih lagi dalam proses mendokumentasi. Mereka enggan beritahu jika (Nurul Izzah) akan ditahan atau tidak.

Dengan sinis, beliau juga berkata kerajaan sepatutnya terus memansuhkan parlimen sekiranya MP tiada kekebalan.

"Mungkin mereka patut mansuhkan parlimen dan guna rejim autoritarian dan bukannya demokrasi,” katanya.

Tambahnya, polis turut merakam kenyataan Nurul Izzah berhubung perhimpunan Kita Lawan.

Sementara itu, seorang lagi MP PKR, N Surendran berkata, polis tidak sepatutnya menyiasat Nurul Izzah.

“Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kekebalan daripada apa-apa persidangan mahkamah atas apa sahaja yang dituturkan oleh seseorang MP di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Nurul Izzah tidak sepatutnya disiasat, melainkan jika beliau menyentuh isu sensitif, katanya.

"Tindakan hanya boleh diambil ke atas MP atas kata-kata yang meliputi Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948, termasuk soal kerakyatan, kedudukan Raja-Raja, bahasa kebangsaan atau kedudukan istimewa orang Melayu,” kata peguam itu dalam kenyataannya.

Siasatan ke atas Nurul Izzah itu dijalankan susulan laporan polis oleh bekas MP Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa kritikan ke atas badan kehakiman merupakan kenyataan yang menghina dan menghasut.

Ia berhubung tindakan Nurul Izzah yang membacakan sebahagian daripada ucapan bapanya, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persidangan Dewan Rakyat.

Kandungan ucapan itu antara lainnya mengkritik para hakim yang menyabitkan Anwar dengan kesalahan Liwat II.

Lihat Komen
ADS